Kuala Lumpur: Penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri mencerahkan peluang untuk meraih pingat apabila mara ke final acara 3 meter papan anjal individu wanita di Tokyo 2020, esok. Pada aksi separuh akhir hari ini, Dhabitah menamatkan saingan di kedudukan keenam dengan mengumpul 312.60 mata selepas lima terjunan. Penerjun berusia 22 tahun itu yang membuat penampilan kali kedua di Sukan Olimpik dilihat konsisten bermula sejak terjunan pertama. Hanya 12 daripada 18 penerjun yang beraksi di separuh akhir hari ini layak mara ke pentas final esok. Dua penerjun China, Shi Tingmao serta Wan Han meraih tempat pertama dan kedua apabila masing-masing mengumpul 371.45 dan 346.85 mata. Mereka dilihat menjadi pilihan untuk menang pingat emas dan perak. sumber : HMetro
|