Kuala Lumpur: Biarpun keputusan di temasya Olimpik Tokyo 2020 berakhir tidak seperti diharapkan, atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei ingin berbakti kepada negara setahun lagi. Selepas berbincang bersama keluarga dan isterinya, Hup Wei memutuskan untuk menjadikan temasya Sukan Asia Hangzhou, China sebagai medan terakhirnya sebelum bersara. Namun, ketika ini, Hup Wei berkata, dia mahu berehat dan menenangkan fikiran sebelum mengatur perancangan seterusnya. Pada masa sama, dia tetap menegaskan bahawa Tokyo 2020 adalah Sukan Olimpik terakhir bagi dirinya dan tiada lagi kelibatnya pada Paris 2024. "Buat ketika ini, saya hanya mahu berehat. Mahu menenangkan fikiran dan tidak mahu memikirkan apa yang sudah terjadi. "Memang kecewa, terlalu kecewa kerana saya mahu berikan yang terbaik untuk negara. Saya usahakan semuanya tapi tidak tahu mengapa ia tidak menjadi," katanya yang mempunyai catatan terbaik 2.29 meter dilakukan ketika Kejohanan Dunia 2007. Semalam, impian Lee Hup Wei berakhir tidak seperti diharapkan sehingga ia benar-benar mengecewakan dirinya. Raut wajahnya memberikan jawapan betapa luluh hatinya sehingga tidak dapat menahan air mata sejurus selepas tamatnya tiga lompatan ketika beraksi di Stadium Olimpik Tokyo, sekali gus menyentuh jutaan hati rakyat Malaysia. Pada saingan itu, Hup Wei gagal melepasi ketinggian 2.17 meter (m) yang diletakkan pada lompatan pertama oleh penganjur. Selepas tiga kali mencuba dia gagal melepasinya, sekali gus aksinya terhenti pada pusingan kelayakan. Lompatan 2.17m itu bukannya satu yang sukar baginya yang sudah beraksi dua kali di pentas terbesar itu. Malah ketinggian itu mudah dilepasi ketika sesi latihan sebelum terbang ke bumi Tokyo. Namun semuanya tidak menjadi dan akhirnya, Hup Wei, 34 terpaksa akur dia gagal melakukannya untuk negara. sumber :HMetro
|