Kuala Lumpur: Dua pelayar negara, Nuraisyah Jamal dan Juni Karimah Noor Jamali tetap optimis dan berusaha menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik acara International 470 Wanita di Tokyo 2020. Ketika saingan masih berbaki empat perlumbaan, mereka tidak sesekali akan berputus asa dan terus mencuba biarpun baru kali pertama beraksi di pentas terbesar dunia itu. Juni mengakui dia bersama Aisyah sudah bersedia dengan segala kemungkinan dan mengatur perancangan untuk perlumbaan ketujuh dan kelapan. "Setiap kali turun kami akan berusaha untuk memperbaiki kedudukan dan menempatkan diri dalam kedudukan lebih baik. "Kalau boleh setiap perlumbaan kami mahu lakukan yang terbaik," katanya. Mengulas mengenai angin di Pelabuhan Kapal Layar Enoshima, Juni berkata, dua hari pertama angin bertiup sekitar 15 ke 20 knots dengan ombak setinggi satu hingga dua meter (m), namun ia semakin perlahan sejak semalam. Menurutnya, ramalan kaji cuaca menjangkakan mungkin angin akan bertiup sederhana esok. "Bagi saya jika angin medium (sederhana) ia akan berikan kelebihan berbanding dengan apa yang berlaku ketika perlumbaan semalam. "Bila angin mula perlahan kami berjaya mencelah masuk ke kedudukan ke-12 di mark one. "Tapi kami dipintas ketika 'downwind'. Jadi untuk esok kami akan lebih berhati-hati dengan tindakan lawan dan cuba mengatur serta memperbaiki strategi untuk lebih baik lagi," katanya. Selepas enam perlumbaan, pasangan negara itu kini berkedudukan tempat ke-20 daripada 21 peserta dengan saingan dikuasai pelayar dari Poland, Agnieszka Skrzypulec dan Jolanta Ogar. sumber : HMetro
|