Kuala Lumpur: Bukan sahaja layak ke final, malah penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri mampu memberikan harapan pada perebutan pingat di final acara 3 meter papan anjal individu wanita, esok. Harapan itu menjelma selepas penerjun berusia 22 tahun itu mempamerkan aksi meyakinkan pada saingan separuh akhir, hari ini apabila menamatkan saingan di kedudukan keenam dengan mengumpul 312.60 mata selepas lima terjunan. Dia yang membuat penampilan kali kedua di Sukan Olimpik dilihat konsisten bermula dari terjunan pertama lagi di saingan berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo itu. Dhabitah bermula di tempat kesembilan selepas berakhir terjunan pertama dan terus memperbaiki kedudukannya sehingga ke tempat keenam. Hanya 12 daripada 18 penerjun yang beraksi di separuh akhir hari ini, layak mara ke pentas final esok. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berharap Dhabitah dapat meneruskan aksi konsisten esok. "Saya berharap Dhabitah dapat melakukan terbaik semasa final nanti dan memecahkan pencapaian peribadinya di Siri Dunia FINA di London 2019 dengan catatan 344.40 mata. Teruskan fokus," katanya di Facebook miliknya. Pemenang emas Rio 2016, Shi Tingmao dari China mengungguli aksi separuh akhir hari ini dengan mengumpul 371.45 mata manakala rakan senegara, Wan Han di tempat kedua dengan 346.85 mata dan Jennifer Abel dari Kanada ketiga (341.40 mata). sumber : HMetro
|