Tokyo: Atlet pecut Kenya, Mark Odhiambo yang berada dalam senarai saringan acara 100 meter (m) lelaki di Olimpik digantung daripada penyertaannya selepas diuji positif dadah menurut pegawai penganjur temasya itu. "Atlet itu.. sudah dimaklumkan membabitkan kes berkenaan dan digantung serta merta sehingga penyelesaian selaras dengan Akta Anti-Dpoing Dunia dan Peraturan Anti-Doping IOC," menurut Agensi Ujian Antarabangsa (ITA) dalam satu kenyataan. Odhiambo yang mencatat masa terbaik 10.05 saat, mencabar keputusan itu dan kes berkenaan dirujuk kepada bahagian anti doping Mahkamah Timbang Tara Sukan yang berpangkalan di Lausanne. Terdahulu diumumkan hari ini atlet pecut Nigeria, Blessing Okagbare juga digantung daripada mengambil bahagian dalam acara separuh akhir wanita 100m selepas dia diuji positif mengambil bahan terlarang untuk meningkatkan hormon. Blessing yang memenangi saringan semalam, gagal dalam ujian pada 19 Julai lalu, iaitu empat hari sebelum majlis pembukaan Olimpik Tokyo. sumber : HMetro
|