Kuala Lumpur: Penerjun negara, Wendy Ng nyata tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewanya selepas gagal meneruskan kemaraan pada penampilan ketiganya di temasya Sukan Olimpik. Pada acara 3 meter (m) papan anjal individu semalam, Wendy sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-20 dengan mengumpul 251.95 mata sekali gus gagal menempah slot ke pusingan 18 terbaik. "Bekerja keras sejak lima tahun lalu untuk Olimpik kali ini tetapi hasilnya sangat mengecewakan. "Apapun saya menerima banyak sokongan. Terima kasih kepada anda semua yang sentiasa bersama saya," katanya di Instagram. Kekecewaan Wendy itu ada asasnya selepas pada temasya sama lima tahun lalu di Rio, dia adalah wakil tunggal negara yang layak beraksi di pentas final acara itu dan menamatkan saingan di kelompok 10 terbaik. Namun situasi di Tokyo nampaknya tidak memihak kepada Wendy sekali gus menyaksikan pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu gagal mengulangi atau memperbaiki pencapaian di Rio. Sementara itu, jurulatih kebangsaan, Christian Brooker mengakui anak didiknya itu dilihat tidak selesa ketika menjalani sesi latihan sebelum bermulanya saingan sebenar. "Apabila bermulanya saingan, dia mungkin rasa kurang yakin dan ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada prestasinya," katanya. sumber : HMetro
|