Mogadishu: Empat pemain bola sepak kelab tempatan di Somalia terbunuh dalam satu letupan dipercayai berpunca daripada bom yang menyebabkan bas mereka meletup semalam.
Sepuluh orang pemain kelab Jubaland Chamber of Commerce and Industry dalam perjalanan ke perlawanan yang berlangsung di Stadium Kismayo di selatan Somalia ketika kejadian itu berlaku.
"Pemain berkenaan berada di dalam bas ketika letupan itu berlaku. Siasatan masih lagi dijalankan namun kami mengesyaki bahan letupan itu di pasang di bas berkenaan," kata pegawai polis, Mohamed Sadiq.
Beliau berkata, empat pemain bola sepak terbunuh, manakala lima lagi cedera.
"Letupan itu sangat kuat dan menyebabkan api marak di bas berkenaan, manakala orang ramai bergegas mengeluarkan mayat dan pemain yang cedera," kata seorang saksi, Ibrahim Ahmed.
"Saya melihat bas berkenaan terbakar dan tiga mayat pemain, ini sangat mengerikan kerana mereka adalah pemain bola sepak bukannya ahli politik," kata seorang lagi saksi, Said Adan.
Setakat ini belum ada yang tampil dengan segera mengakui bertanggungjawab di atas serangan di Kismayo, ibu negeri Jubaland.
Jubaland adalah negeri pertama akan mula mengundi minggu ini dalam pilihan raya nasional yang telah lama ditangguhkan di Somalia selepas diancam oleh kumpulan pejuang Al-Qaeda.
Para pelampau sudah berjuang untuk menjatuhkan kerajaan persekutuan sejak 2007 dan sering menyerang pemerintah, pihak keselamatan dan orang awam.
sumber : HMetro