Edited by Vellfire at 2-8-2021 01:34 PM
Program imunisasi berkesan kurangkan jangkitan teruk COVID-19, kadar kematian di Sarawak
KUCHING: Sarawak telah mencapai liputan imunisasi tertinggi untuk golongan dewasa yang layak sebanyak 86.7 peratus bagi dos pertama dan 66.6 peratus bagi dos kedua vaksin Covid-19 sehingga 31 Julai 2021.
Demikian kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak, Dato Dr. Mohamed Sapian Mohamed sambil menambah, sasaran 70 peratus populasi Sarawak divaksin lengkap sebelum menjelang akhir Ogos ini.
"Liputan yang tinggi ini amat penting dalam usaha untuk membendung transmisi jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti. "Peningkatan liputan imunisasi ini telah memberi impak positif terhadap bilangan kes baharu yang dikesan dan kadar kematian akibat jangkitan COVID-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya lagi, berdasarkan kepada laporan pada bulan Julai 2021, purata kes yang dikesan telah menurun kepada 383 kes sehari.
Jika dibandingkan dengan purata kes pada sebelumnya, iaitu 584 kes pada bulan Jun dan 538 kes pada bulan Mei 2021.
Dr. Mohamed Sapian berkata walaupun terdapat peningkatan kes bermula dari 25 Julai sehingga 31 Julai iaitu 450 kes baharu sehari namun kebanyakan kes yang dikesan adalah tertumpu di beberapa daerah sahaja.
Daerah-daerah tersebut adalah di bahagian Kuching, Samarahan dan Serian berdasarkan kepada aktiviti saringan bersasar dan saringan kontak kepada kes positif yang telah dilaksanakan pihaknya, jelasnya.
"Bilangan kes COVID-19 yang memerlukan pemantauan dan rawatan rapi di hospital telah berkurangan sejajar dengan peningkatan mendadak liputan imunisasi COVID-19 di Sarawak sejak Jun 2021.
"Bilangan kes kategori 4 (radang paru paru dan memerlukan bantuan oksigen) dan kategori 5 (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan) telah berkurangan daripada purata 268 kes sehari pada Jun 2021, 1 kepada 150 kes sehari pada Julai 2021," tambahnya.
Katanya, bilangan kes memerlukan rawatan kritikal turut menurun daripada purata 83 kes sehari pada Jun 2021 kepada 45 kes sehari pada Julai. Setakat 30 Julai 2021, jumlah kematian disebabkan oleh penyakit COVID-19 telah berkurangan daripada 108 kes pada Jun 2021 kepada 45 kes (Julai 2021).
Sebagai usaha memastikan semua penduduk berumur 18 tahun ke atas dan layak menerima imunisasi COVID-19, semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sarawak telah melaksanakan perkhidmatan pemberian vaksin secara hadir terus (walk-in).
Justeru, JKN Sarawak menyeru agar orang ramai yang masih belum menerima dos pertama vaksin atau belum menerima janji temu imunisasi COVID-19, agar segera menghubungi Pejabat Residen, Daerah atau PPV atau Klinik Kesihatan berhampiran untuk mendapatkan tarikh janji temu imunisasi atau menerima imunisasi COVID-19 secara hadir terus.
Pihak JKN Sarawak juga mengingatkan orang ramai untuk sentiasa memakai pelitup muka setiap masa terutamanya apabila berada di tempat awam seperti di kedai makan atau pasar raya, mengamalkan penjarakan fizikal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) atau peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Sekiranya mengalami gejala seperti demam, batuk, sakit tekak, sukar bernafas atau mengalami kelesuan, sakit badan, cirit-birit, muntah dan lain-lain, segera dapatkan saringan dan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat walaupun gejala adalah ringan dan tidak teruk.
Sebaiknya, orang ramai perlu kekal duduk di rumah jika tiada urusan penting, tambah beliau lagi.
utusanborneo.com.my/2021/08/01
|