Pemuda maut motosikal langgar tiang telefon di Serian
Mangsa terbaring di tepi jalan selepas terlibat kemalangan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. - Gambar ihsan polis
KUCHING: Seorang pemuda maut akibat cedera parah di kepala selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 6 Jalan Serian-Tebedu berdekatan Riih Mawang awal pagi hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, dalam insiden yang berlaku sekitar jam 1 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Micker Moss berusia 25 tahun beralamat di Kampung Lanchang Sabai, Jalan Baki Riih.
"Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa.
"Kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal mangsa yang bergerak dari arah Serian menuju ke arah Tebedu, semasa menuju selekoh mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan dan melanggar tiang telefon," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ekoran kemalangan itu, jelas Alexson, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya lagi, keadaan cuaca pada masa kejadian adalah baik.
"Polis telah melawat tempat kejadian mengambil rajah kasar serta gambar termasuk ukuran tempat kejadian," ujarnya.
Tambahnya, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
utusanborneo.com.my/2021/08/09
|