View: 863|Reply: 1
|
Bubur pulut hitam nanti kepulangan Daus
[Copy link]
|
|
Kuala Lumpur: Kepulangan pelumba berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom ke kampung halamannya di Muar minggu ini amat dinanti-nantikan keluarganya selepas hampir dua tahun berkelana dalam memburu impiannya meraih pingat pada temasya Sukan Olimpik Tokyo.
Shah Firdaus, 25, gigih menjalani latihan di luar negara terutama di Melbourne, Australia di bawah kendalian jurulatih John Beasley sejak Mac tahun lalu dalam usahanya menjadi pelumba disegani di dunia di samping idolanya, Datuk Azizulhasni Awang, yang meraih perak di Tokyo 2020.
Pelumba itu yang layak ke suku akhir acara keirin di Shizuoka, terikat dengan tempoh kuarantin wajib 14 hari di Kompleks Sukan Kampung Pandan selain menjalani proses pemulihan diri menjelang kejohanan dunia Oktober ini.
Difahamkan, Beasley yang pernah memuat status memuji semangat Shah Firdaus berlatih berseorangan di luar negara, memberi peluang pelumba itu pulang bercuti di kampungnya selama seminggu sejurus menamatkan kuarantin wajib minggu ini.
Kakaknya, Noreen Nor Amira Sahrom berkata, Shah Firdaus yang dipanggil Daus dalam kalangan adik beradiknya, sudah hampir dua tahun tidak pulang ke kampung halamannya di Kampung Parit Setongkat, Muar.
"Bila ibu dapat tahu Daus dah ada di Malaysia, dia memang teringin sangat nak berjumpa apatah lagi sudah lama Daus tidak balik ke kampung. Kami sekeluarga amat merinduinya," kata Noreen dalam satu temubual di satu saluran televisyen tempatan sambil mendedahkan ibunya kurang sihat ketika ini.
"Daus memang amat meminati bubur pulut hitam. Kebetulan kini musim durian di sini dan ibu ada menyimpan sebekas durian, katanya kalau Daus balik, dia akan masak bubur pulut hitam durian untuk Daus.
"Kami tidaklah terputus hubungan dengannya kerana boleh kata setiap hari dia akan telefon bertanyakan kesihatan ayah dan ibu selain perkembangan anak saudaranya," kata Noreen.
Shah Firdaus, yang dua kali menewaskan Azizul dalam perlumbaan keirin tahun ini, mendapat pujian warganet dan rakyat negara ini apabila dia meneruskan perlumbaan keirin di Shizuoka dua minggu lalu menerusi repechage selepas cedera apabila terjatuh pada peringkat saringan.
Dia meloloskan diri ke suku akhir sebelum menghuni ranking ke-16 secara keseluruhan pada penampilan sulungnya di Sukan Olimpik. Dalam acara pecut, dia mengakhiri kempen di tangga ke-12.
HMetro
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
SHAH Firdaus terikat dengan tempoh kuarantin wajib 14 hari di Kompleks Sukan Kampung Pandan selain menjalani proses pemulihan diri. FOTO Bernama |
|
|
|
|
|
|
| |
|