View: 816|Reply: 1
|
Velodrom Dungun bukan untuk perlumbaan
[Copy link]
|
|
Kuala Terengganu: Pembinaan velodrom berbasikal di Dungun tidak sepatutnya dijadikan isu walaupun tidak memenuhi spesifikasi Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi penganjuran kejohanan bertaraf dunia.
Ini kerana pembinaan asal velodrom berharga RM11.8 juta yang dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2022 adalah untuk pembangunan sukan berbasikal negeri dan bukannya penganjuran bertaraf antarabangsa.
Penjelasan itu disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah yang kesal apabila ada pihak yang cuba menangguk di air keruh.
Tegas Wan Sukairi, tujuan asal pembinaan velodrom berkenaan adalah sebagai pusat latihan dan pembangunan sukan berbasikal negeri berikutan Terengganu adalah 'lubuk' pelumba basikal negara.
"Jadi isu velodrom itu dibina tidak memenuhi spesifikasi UCI untuk pertandingan bertaraf dunia sepatutnya tidak perlu dibangkitkan lebih-lebih lagi projek kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 2009 itu hanya membabitkan kos sebanyak RM11.8 juta yang tidak mungkin velodrom bertaraf antarabangsa dapat dibina.
"Bagaimanapun sebelum terbinanya velodrom berkenaan, kita ada memohon agar projek itu dibina di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak mengikut spesifikasi UCI dengan kos yang lebih tinggi sebagaimana di Nilai, namun tidak diluluskan.
"Jadi kita perlu terima hakikat dan bukannya membangkitkan isu yang boleh mencetuskan suasana yang tidak harmoni lebih-lebih lagi Datuk Azizulhasni Awang sudah melakukan pengorbanan yang tinggi dengan membawa pulang pingat perak dalam acara keirin pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo pada 8 Ogos lalu," katanya.
Ketika ditanya mengenai nama velodrom berkenaan, Wan Sukairi mengakui kerajaan negeri belum lagi meletakkan nama kerana masih belum siap sepenuhnya.
"Nama velodrom itu belum diputuskan lagi kerana belum siap sepenuhnya, tapi memang hasrat kita untuk namakan velodrom itu dengan nama Velodrom Datuk Azizulhasni Awang, kita doakan ianya menjadi kenyataan lebih-lebih lagi velodrom itu sudah mencapai 90 peratus siap dan dijangka boleh beroperasi awal 2023," katanya.
Pandangan sama disuarakan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya yang menjelaskan sememangnya pembinaan velodrom itu bukan bertujuan untuk penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa.
"Hasrat asal pembinaan velodrom ni bukan untuk penganjuran kejohanan, tapi untuk melahirkan bakat baharu sukan berbasikal trek memandangkan Terengganu adalah kilang melahirkan atlet berbasikal berbakat.
"Namun memang diakui terdapat sedikit kecacatan pada reka bentuk velodrom tersebut dan saya serta Wan Sukairi ada membangkitkan isu berkaitan laluan masuk ambulan dan lain-lain yang berpotensi menjadi masalah kelak.
"Tetapi pihak kontraktor memaklumkan perubahan bagi pembinaan laluan masuk ke dalam velodrom tidak boleh diubah kerana asasnya telah dibina dan ia akan merosakkan struktur velodrom itu," katanya ketika dihubungi.
Projek tersebut yang mula beroperasi pada 2010 diumumkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek pada tahun 2009 sebagai penghargaan atas jasa wira negara, Datuk Azizulhasni Awang dalam sukan berbasikal trek.
HMetro
|
Rate
-
2
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
Velodrom di Dungun yang dijangka siap sepenuhnya pada Disember tahun depan. FOTO Ihsan FB JKR |
|
|
|
|
|
|
| |
|