BUTTERWORTH: Seorang lelaki terbunuh selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya merempuh pondok tol di Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) dekat Permatang Pauh, di sini, tengah hari tadi. Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.02 tengah hari berhubung kemalangan dalam kejadian di Plaza Tol Kubang Semang, arah Butterworth itu. Katanya, pasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penanti dengan bantuan BBP Perai bergegas bagi operasi menyelamat. "Anggota kami mendapati mangsa seorang lelaki yang identiti belum dikenal pasti tersepit dalam kenderaan itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Beliau berkata, petugas Kementerian Kesihatan mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah. Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya, untuk proses bedah siasat.
|