Edited by Vellfire at 18-8-2021 06:17 AM
Kluster Sawit Baiduri tercetus daripada majlis perkahwinan
KOTA KINABALU: Kluster baharu COVID-19 iaitu Kluster Sawit Baiduri yang merekodkan 77 kes baharu setakat ini dipercayai tercetus daripada majlis perkahwinan pada 6 Ogos lalu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata jangkitan yang direkodkan di Lahad Datu melibatkan komuniti di Mukim Felda Sahabat berpunca dari kes indeks iaitu bapa kepada pengantin tersebut.
“Kes indeks adalah lelaki warganegara Indonesia, berumur 47 tahun yang disahkan positif COVID-19 pada 11 Ogos lalu di Klinik Kesihatan Tungku selepas bergejala sejak 10 Ogos.
“Turut didapati positif ialah anak kepada kes indeks dan hasil pengesanan secara aktif dan saringan bersasar terhadap 178 orang terdiri daripada ahli keluarga dan kontak rapat kemudiannya mengesan 77 kes positif termasuk 43 kes baharu hari ini,” katanya dalam kenyataan harian COVID-19 kelmarin.
Masidi berkata 101 lagi individu didapati negatif saringan pertama dan punca jangkitan masih dalam siasatan.
“Hasil siasatan awal bagaimananapun mendapati terdapat majlis perkahwinan pada 06 Ogos lalu yang dipercayai menjadi punca penyebaran wabak ini.
“Kes indeks adalah bapa kepada pengantin tersebut dan kesemua kes positif COVID-19 dalam kluster ini sudah dirujuk ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Lahad Datu dan Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan.
“Kontak-kontak rapat juga sudah diarahkan untuk menjalani kuarantin di pusat kuarantin PPR Sri Sepagaya, Lahad Datu,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan Masidi berkata 285 kenderaan diarah berpatah balik selepas pemeriksaan 31,799 kenderaan di 150 sekatan jalan raya (SJR) yang dilaksanakan kelmarin.
“Sebanyak 29 kompaun turut dikeluarkan bagi kesalahan melanggar SOP COVID-19 di seluruh Sabah dengan kesalahan paling tinggi iaitu tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan.
“Penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melibatkan 80 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 43 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dibuat,” katanya. Tambahnya dua notis juga dikeluarkan di Kinabatangan hasil pemeriksaan 996 premis perniagaan oleh Pihak Berkuasa Tempatan mengikut kawalan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
“Satu kompaun turut dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) selepas menjalankan pematuhan SOP terhadap 40 premis perniagaan dan 39 individu di 18 kawasan dengan kesalahan susun atur kerusi meja ‘Dine-In’ di luar premis di sebuah restoran di Plaza Juta, Likas,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/08/18
|