20 peratus warga Indonesia sudah divaksin di Tawau
TAWAU: Konsulat Republik Indonesia (KRI) di Tawau menyambut baik usaha Kerajaan Malaysia membenarkan program vaksinasi membabitkan warga asing yang berada di sini.
Ketua Perwakilan KRI Tawau, Heni Hamidah berkata setakat ini, dianggarkan lebih 20 peratus daripada 170,000 warga Indonesia (berdaftar) di daerah ini menerima sekurang-kurangnya janji temu untuk divaksin.
“Malah seluruh kakitangan dan keluarga KRI Tawau juga sudah lengkap menerima vaksin COVID-19.
“Justeru, kami sangat menghargai kebijakan pemerintah Malaysia untuk memberi vaksin kepada bukan warganegara yang tinggal di sini,” katanya. Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Kemerdekaan Indonesia kali Ke-76, di sini hari ini.
Heni berkata, Indonesia juga turut melakukan vaksinasi ke atas bukan warga berkenaan khususnya membabitkan diplomatik asing yang tinggal di negara berkenaan.
Sementara itu, Heni memaklumkan sebanyak 13,000 bakul makanan berjaya diedarkan kepada rakyat Indonesia yang berada di daerah ini sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), April lalu.
“Bantuan itu juga diberikan kepada rakyat Indonesia yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) termasuk mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19," katanya.
Heni dalam pada itu, meminta rakyat Indonesia yang berada di negeri ini untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa Malaysia dalam usaha membantu memutuskan rantaian COVID-19.
“Saya juga berharap warga Indonesia di daerah ini tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang sehingga boleh menyebabkan mereka dihukum.
“Jangan masuk dan keluar ke daerah ini melalui jalan samping atau tidak diwartakan kerana pintu imigresen Tawau masih ditutup daripada sebarang kemasukan warga asing,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/08/17/20
|