Edited by Vellfire at 18-8-2021 01:10 PM
Syabu dalam bungkusan makanan dihantar ke lokasi PKPD
Bungkusan makanan yang mengandungi dadah.
KOTA SAMARAHAN: Cubaan membawa masuk dadah jenis syabu ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Baru di sini menggunakan khidmat penghantar makanan digagalkan.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata sepasukan anggotanya dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) membuat pemeriksaan ke atas satu bungkusan nasi yang dihantar oleh seorang penghantar makanan pada jam 11.30 pagi hari ini.
Hasil pemeriksaan menjumpai lapan paket plastik berisi ketulan disyaki syabu seberat 20 gram.
"Pemeriksaan dilakukan ke atas satu bungkusan makanan yang mencurigakan dihantar oleh seorang pekerja penghantar makanan untuk diserahkan kepada seseorang yang berada di dalam kawasan PKPD tersebut.
"Sejurus selepas itu, seorang lelaki datang dan menuntut bungkusan makanan berisi dadah tersebut menyebabkan dia kemudian terus ditangkap untuk siasatan lanjut," katanya menerusi satu kenyataan.
Tambahnya, suspek yang mengambil bungkusan makanan tersebut merupakan seorang penganggur berusia 30 tahun. Hasil saringan ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.
Penghantar makanan berusia 30 tahun itu juga ditangkap untuk membantu siasatan.
"Saringan awal air kencing mendapati dia negatif dadah, bagaimanapun dia ditahan untuk membantu siasatan," katanya.
Kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Utusanborneo/2021/08/18
|