Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, dia sudah menghubungi pihak Kerajaan Negeri bagi permohonan itu dua hari lalu.
"Seterusnya saya akan maklumkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sebelum (maklumkan) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi diambil tindakan," katanya lagi.
Bagi pasangan tukang urut buta, Yusuf Jamaludin, 51, dan Norzalia Romli, 34, mengakui bimbang dengan situasi semasa kes Covid-19 di penempatan mereka.
Kata Yusuf, mereka hanya keluar dari rumah bagi membeli barangan dapur sekali seminggu dengan berjalan kaki kira-kira dua kilometer ke Pasar Chowrasta, Jalan Penang.
"Bukan tidak mahu naik kereta e-hailing tetapi kami tidak boleh melihat dengan siapa yang kami berjumpa selain perlu jimatkan wang kerana sudah dua tahun tidak dapat bekerja.
"Tambahan pula kes yang semakin meningkat di sini, kami hanya duduk di dalam rumah sahaja," kata bapa kepada dua anak berusia tujuh dan 10 tahun itu.
Sementara itu, badan bukan kerajaan (NGO) Urban Life Volunteers (ULV) sudah menerima sebanyak 35 aduan penduduk berhubung kebimbangan itu.
Setiausaha Kehormat Sarah Abdullah berkata, penduduk mendakwa sudah menghubungi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ahli Dewan undangan Negeri (Adun) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, namun tiada pihak yang turun padang.
"Penduduk kecewa lalu menghubungi kami bagi mendapatkan bantuan kerana mereka risau mengenai keselamatan kanak-kanak dan golongan warga emas yang tinggal bersama. Diharap pihak berkenaan turun padang bagi menyelesaikan isu berkenaan," katanya.
Untuk rekod, terdapat 320 unit di kejiranan itu dan kebanyakannya adalah berstatus B40 dengan meraih pendapatan sebagai nelayan pantai, tukang dan berpendapatan tidak tetap.
Penduduk juga memerlukan bantuan bakul makanan berikutan 80 peratus daripada penduduk yang tidak dapat bekerja susulan pandemik Covid-19.