KUCHING: Padah mengugut untuk membakar rumah keluarganya, seorang lelaki berusia 28 tahun dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Tertuduh berusia 28, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zaiton Anuar atas pertuduhan yang dibaca mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengugut pengadu yang merupakan ibunya untuk membakar rumah yang beralamat di Kampung Gita Baru, Jalan Pinang Jaya sekitar jam 10.00 malam, 23 Ogos lalu.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Menurut fakta kes, tertuduh mengambil botol kosong dan cuba untuk mengambil minyak di dalam tangki motosikal di hadapan rumah mereka sambil mengugut mangsa dengan menyatakan ‘Tido jak kitak orang sia, kelak tauk la kitak orang kamek nunok rumah tok’ yang membawa maksud ‘tidur saja kamu orang di sana, nanti kamu tahu saya yang bakar rumah ini’.
Sebelum ini, tertuduh juga meletakkan parang di hadapan rumah sehingga menyebabkan mangsa bertekad untuk memohon bantuan daripada kereta peronda polis jenis MPV. Kesalahan itu juga sering dilakukan semasa tertuduh mengambil barang-barang di dalam rumah untuk dijual, sehingga menimbulkan perasaan takut dan kurang selamat tinggal di dalam rumah tersebut.
Difahamkan sebelum kejadian, tertuduh telah ditegur oleh bapanya kerana memarahi anak jiran mereka.
Tertuduh yang tidak berpuas hati lalu mengugut mangsa untuk membakar rumah kediaman mereka.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
sarawakvoice.com/2021/08/30
|