Edited by boca120879 at 3-12-2021 04:43 AM
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Diceritakan oleh Musa bin Isma'il, diceritakan oleh Ibrahim bin Sa'd, diceritakan oleh Ibnu Syihab, daripada 'Amir bin Sa'd, daripada ayahnya (Sa'd),
"Ketika Rasulullah s.a.w. haji wada' (perpisahan), Rasulullah s.a.w. datang menjengukku ketika aku terbaring sakit yang parah.
Lalu Sa'd berkata, "Wahai Rasulullah, keadaan saya semakin parah, seperti yang telah anda lihat saat ini.
Saya adalah orang yang memiliki banyak harta, dan saya hanya memiliki seorang anak perempuan yang akan mewarisi harta peninggalan saya.
Maka bolehkah saya menyedekahkan dua pertiga (2/3) daripada hartaku?"
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jangan."
Sa'd bertanya lagi, "Kalau begitu, bagaimana jika separuhnya (1/2)?"
Rasulullah s.a.w. menjawab, "Jangan, (namun sedekahkanlah sepertiganya (1/3) sahaja), dan sepertiganya (1/3) pun sudah banyak.
Sebenarnya apabila kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya, itu lebih baik
daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan serba kekurangan dan meminta-minta kepada orang lain.
Tidaklah kamu menafkahkan suatu nafkah dengan tujuan untuk mencari redha Allah, melainkan kamu akan mendapat pahala lantaran daripada nafkah pemberianmu itu,
hingga sesuap makanan yang kamu suapkan ke mulut isterimu juga merupakan sedekah daripadamu."
Sa'd bertanya lagi, "Apakah aku diberi umur panjang setelah sahabat-sahabatku (yang meninggal dunia)?"
Rasulullah s.a.w. menjawab, "Tidaklah sekali-kali engkau diberi umur panjang lalu kamu beramal soleh melainkan akan bertambah darjat dan kemuliaanmu.
Semoga kamu diberi umur panjang sehingga kaum Muslimin dapat mengambil manfaat daripada dirimu dan juga mungkin dapat mendatangkan mudarat bagi kaum (kafir harbi) yang lain.
Ya Allah, sempurnakanlah hijrah para sahabatku dan janganlah Engkau kembalikan mereka kepada kekufuran,
akan tetapi alangkah kasihannya Sa'd bin Khaulah."
Sa'd berkata, "Kemudian Rasulullah s.a.w. mendoakannya agar dia meninggal dunia di kota Mekah."
(Hadith Bukhari no. 5896)
Nota penting: Untuk pemahaman yang lebih baik, sila rujuk nasihat pakar (ulama, ustaz atau yang setaraf dengannya)
|