Kangar: Isteri kepada salah seorang daripada dua lelaki yang ditemui meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Dato Setia, di sini, semalam, disahkan positif Covid-19 tahap empat.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, wanita berusia 70-an itu masih dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) selepas turut ditemui tidak sedarkan diri dalam banglo satu tingkat di kawasan perumahan berkenaan.
"Isteri kepada salah seorang lelaki yang meninggal dunia semalam masih lagi dirawat di HTF.
"Dalam perkembangan sama, mayat dua beranak berusia 53 dan 79 tahun itu sudah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk menjalani proses bedah siasat.
"Bagaimanapun proses bedah siasat tidak dapat dijalankan dengan segera memandangkan kedua-dua mayat berkenaan disyaki positif Covid-19," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, proses bedah siasatan berkemungkinan dapat dilakukan antara dua hingga tiga hari lagi bergantung kepada forensik HSB.
Semalam, dua beranak, Ahmad Rizal, 53 dan bapanya, Bakar Yaacob, 73, ditemukan maut dipercayai mengalami jangkitan Covid-19 di kediaman mereka di Taman Dato Setia.
Selain itu, isteri Bakar ditemui tidak sedarkan diri dalam kediaman mereka selepas kenalan mangsa gagal menghubungi mereka sejak beberapa hari lalu.
Anggota polis yang tiba di kediaman berkenaan mendapati pintu berada dalam keadaan tertutup tetapi tidak berkunci.
Pemeriksaan menemui dua mayat yang mana keadaan fizikal mayat Ahmad Rizal dipercayai sudah kembung disyaki meninggal beberapa hari yang lalu.
Manakala mayat Bakar terbaring di ruang makan rumah itu dalam keadaan sempurna.
Polis turut menemui isteri mangsa tidak sedarkan diri dalam rumah berkenaan.
Petugas kesihatan dari Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar kemudian tiba untuk melakukan pemeriksaan terhadap mangsa.
Pemeriksaan tidak menemui sebarang perbuatan jenayah terhadap mangsa.