Yan: "Saya hanya mampu pasang plastik khemah untuk dijadikan atap rumah, selain menggunakan kayu dan atap terpakai," kata Ayub Abdul Razak, 30.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia tidak mampu menyediakan rumah yang selesa untuk keluarganya berikutan hanya bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan tidak menentu.
Menurutnya, rumah yang didiami adalah rumah yang bersambung dengan rumah ibu mentuanya yang juga ibu tunggal selain menghidap penyakit kencing manis.
"Pendapatan sebagai nelayan cuma RM500 sebulan menyebabkan hidup kami sekeluarga ibarat kais pagi makan pagi.
"Saya pula akan menggunakan duit yang diperolehi untuk memastikan dua anak berusia sembilan dan tujuh tahun dapat belajar dengan baik," katanya yang tinggal di Kampung KEDA, Sungai Udang, di sini.
Menurutnya, keadaan rumahnya tidak selesa kerana cuma ada ruang untuk tidur dan memasak, manakala bilik air pula menumpang di rumah mentua.
Katanya, rumahnya juga tiada perabot kecuali peralatan dapur untuk memasak dan membasuh sahaja.
"Kini, saya sudah dua minggu tidak bekerja kerana dikuarantin di rumah selepas isteri Surianti Ismail, 32, didapati positif Covid-19.
"Saya terpaksa mengambilalih tugas menjaga anak-anak termasuk anak bongsu Nurul Syadatul berusia 18 bulan," katanya.
Menurutnya, Nurul Syadatul yang didukung kakaknya Nurul Syahira, 7, hampir terkena kayu bumbung yang terjatuh akibat angin kuat pada 6.30 petang semalam.
Katanya, ketika itu dia bersama anak sulungnya Muhammad Khairul Hafiz, 9, sedang mengikat tali plastik di bumbung di mana kayu-kayu hampir reput dan menanti masa patah.
"Saya hanya mengharapkan ihsan saudara mara, kenalan dan imam masjid berdekatan untuk membantu meneruskan kelangsungan hidup.
"Hari ini kami sekeluarga akan dipotong gelang merah jambu, manakala isteri juga dijangka pulang ke rumah dan selepas ini dapatlah saya keluar ke laut seperti biasa.
"Cuma saya sangat berharap bantuan orang ramai untuk membaik pulih rumah ini termasuk memasang atap dan membina bilik air supaya anak-anak dapat hidup dengan lebih selesa," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu Ayub boleh menghubunginya di talian 011-61407815.