[size=0.8]Oleh Izad Thaqif Hassan - Oktober 1, 2021 @ 9:07pm[email protected]
SUNGAI PETANI: Keuzuran seorang wanita warga emas membuatkan dia mampu terbaring sambil menghidu bau mayat suaminya yang mulai membusuk dan berulat, selepas meninggal dunia dalam bilik air kediaman mereka di Taman Ria di sini.
Kematian lelaki berusia 79 tahun itu hanya disedari selepas jiran yang curiga dengan bau busuk dari rumah pasangan berkenaan sebelum menghubungi anak mereka.
Difahamkan, isteri mangsa yang berusia 80 tahun sudah uzur serta nyanyuk dan dia hanya mampu terbaring atas tilam di ruang tamu rumah mereka yang turut dikunci dari dalam.
Sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke rumah terbabit dan terpaksa memecah pintu sebelum pemeriksaan lanjut menemui mayat lelaki berkenaan dalam bilik air yang berkunci.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata pihaknya menerima panggilan daripada pegawai bomba pada jam 1.45 tengah hari yang memaklumkan penemuan mayat terbabit.
"Susulan daripada itu, polis bergegas ke lokasi kejadian yang juga rumah teres setingkat dan hasil siasatan mendapati mangsa meninggal dunia lebih daripada 24 jam berdasarkan keadaan mayat yang sudah berulat.
"Anak pasangan terbabit memberitahu bapanya hanya tinggal berdua bersama ibu yang sudah nyanyuk di rumah itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Adzli berkata, anak mangsa juga memberitahu yang dia akan datang melawat serta membawa makanan sekali dalam seminggu untuk ibu bapanya.
"Anak mangsa mendakwa kali terakhir dia bertemu bapanya pada 23 September lalu dan memberitahu yang mangsa tidak mempunyai sebarang penyakit.
"Dia juga mendakwa bapanya tidak pernah mendapatkan sebarang rawatan di klinik atau hospital," katanya.
Menurutnya, siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian lelaki terbabit.
"Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk ujian saringan COVID-19 sebelum bedah siasat," katanya.