CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2252|Reply: 0

Hadapi naratif al-Shabaab

[Copy link]
Post time 5-10-2021 09:44 AM | Show all posts |Read mode
Hadapi naratif al-Shabaab



ISLAM tidak menindas sesiapa pun atas nama agama, bangsa mahupun gender.

Jihad, pelaksanaan hukum Syariah, mendirikan khilafah Islam, menanti kemunculan Imam Mahdi, mengejar mati syahid dan mendapat jalan pintas ke syurga adalah antara tema yang sangat menarik minat masyarakat. Sentimen keagamaan begini jugalah yang disalahgunakan oleh kelompok pengganas bagi merekrut ahli baharu agar menyertai mereka.

Antara kumpulan pengganas yang kembali menjadi perhatian pada ketika ini adalah kelompok al-Shabaab. Al-Shabaab atau terjemahan literalnya bermaksud Pemuda  adalah kependekan kepada Harakat ash-Shabaab al-Mujahidin iaitu satu kumpulan pengganas yang berpangkalan di Afrika timur. Pusat operasi mereka adalah di Somalia dan bergerak aktif di sekitar Kenya dan Yaman.

Al-Shabaab adalah sekutu kepada rangkaian pengganas al-Qaeda. Al-Shabaab berbaiah kepada pemimpin tertinggi al-Qaeda iaitu Ayman az-Zawahiri pada 2012. Selain al-Qaeda, mereka juga bersekutu dengan pengganas Boko Haram yang berpangkalan di Nigeria. Bahkan, sebahagian faksi al-Shabaab juga dilaporkan pernah bersekutu dengan pengganas Daish (ISIS). Sebahagian faksi al-Shabaab pula bersikap untuk memusuhi Daish sehingga wujudnya perselisihan dalaman sesama kumpulan al-Shabaab.

Berbeza dengan al-Qaeda dan Daish yang bersifat gerakan global, al-Shabaab adalah gerakan pengganas yang bersifat regional. Mereka hanya fokus untuk mendirikan Daulah Islamiyyah bagi wilayah Afrika timur sahaja. Mereka percaya kebangkitan khilafah akan bermula di kawasan yang dahulunya dikenali sebagai wilayah Habsyah itu.

Al-Shabaab bertanggungjawab dalam pelbagai keganasan dan kemusnahan yang berlaku di sekitar Afrika timur. Pada 2013, mereka melancarkan serangan terhadap sebuah pasar raya di Nairobi, Kenya. Mereka juga bertanggungjawab dalam kejadian Mogadishu Bombing pada 2017 dan 2019. Serangan mereka turut meragut nyawa orang awam yang ramai. Al-Shabaab juga menjalankan kegiatan penculikan tebusan, pemerasan dan terlibat dalam aktiviti melanun di perairan Somalia bagi mengukuhkan dana gerakan mereka.

Selain warga tempatan, al-Shabaab juga dianggotai ramai warga luar yang datang ke wilayah Afrika timur. Kebanyakkan warga luar itu datangnya dari negara Arab serta Afghanistan-Pakistan. Bahkan, al-Shabaab juga dianggotai warga barat terutama golongan mualaf dari Amerika dan Britain dalam usaha melancarkan jihad palsu ini.

Al-Shabaab menyasarkan serangan mereka terhadap komuniti Kristian. Selain itu, dengan ideologi takfiri, mereka turut menyerang umat Islam bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berpegang kepada tradisi kesufian. Melalui ideologi takfiri ini, al-Shabaab melabel umat Islam sebagai murtad, kufur, syirik, bidaah dan taghut. Orang bukan Islam dan orang Islam yang dilabel murtad ini adalah halal darahnya untuk dibunuh menurut pengganas al-Shabaab.

Niat untuk berjihad, melaksanakan hukum syariah, mendirikan khilafah Islam, mengejar mati syahid dan sebagainya semuanya adalah baik. Namun niat serta matlamat yang baik ini tidak menghalalkan cara dan tindakan yang salah. Al-Shabaab menggunakan dalil keagamaan daripada al-Quran dan hadis bagi menghalalkan segala perbuatan mereka. Namun sebenarnya, mereka telah salah tafsir dan salah guna dalil agama itu dalam merangka doktrin sesat mereka.

Oleh kerana sentimen keagamaan adalah satu isu yang sensitif, maka amat penting untuk menggunakan soft approach atau pendekatan lembut bagi melawan naratif pengganas al-Shabaab ini. Ini supaya masyarakat tidak terpedaya dengan sentimen dan emosi yang dimainkan oleh gerakan al-Shabaab yang memperalatkan slogan agama ini.

Amatlah penting untuk pihak berwajib memahamkan masyarakat tentang konsep jihad yang sebenar menurut Islam agar kesucian agama ini tidak terpalit dengan kegiatan keganasan. Konsep jihad dalam Islam bukanlah dengan membawa keganasan dan membunuh orang awam. Terdapat pelbagai pembahagian jenis jihad dalam Islam. Antara pembahagian jihad adalah seperti jihad pendidikan, jihad ekonomi, jihad ibadah dan terutama sekali jihad melawan hawa nafsu.

Bahkan, jika hendak melaksanakan jihad peperangan sekalipun, Islam menggariskan pelbagai syarat dan peraturan yang ketat agar jihad yang dilaksanakan itu tidak membawa kehancuran kepada peradaban manusia. Jihad peperangan ini bukanlah boleh dilaksanakan secara sewenang-wenangnya. Sesungguhnya Rasulullah SAW diutuskan sebagai rahmat ke seluruh alam. Agama Islam adalah agama yang mengutamakan kedamaian, keamanan dan keharmonian.

Islam tidak menindas walau siapapun atas nama agama, bangsa mahupun gender. Islam adalah agama yang meraikan coexistence atau hidup secara kebersamaan. Rasulullah SAW dan sahabat baginda membawa model Islam yang bersifat penuh kesederhanaan. Rasulullah SAW dan sahabat sendiri mengkritik sikap ekstremis yang dibawa oleh suatu kelompok yang dikenali sebagai khawarij.

Menurut hadis daripada pelbagai riwayat, Rasulullah SAW mengisyaratkan bahawa akan muncul suatu golongan yang ekstrim dalam beragama iaitu golongan khawarij. Seandainya Rasulullah SAW bertemu dengan mereka, baginda bertekad untuk melawan golongan ekstrim ini. Rasulullah SAW berkata bahawa hati golongan khawarij ini ibarat kepingan besi. Mereka membaca al-Quran, tetapi kefahamannya tidak masuk ke dalam hati mereka. Mereka tersasar daripada kefahaman Islam yang sebenar sepertimana keluarnya anak panah dari busur. Mereka adalah seburuk-buruk makhluk.

Tatkala Rasulullah SAW menceritakan tentang kedatangan golongan khawarij, Saiyidina Umar al-Khattab telah menyatakan siap siaganya kepada baginda untuk melawan mereka. Menurut riwayat lain, Saiyidina Khalid al-Walid juga menyatakan perihal yang sama. Bahkan, Saiyidina Ali sendiri bertindak melawan golongan ekstrim khawarij ini di zaman pemerintahan beliau sebagai khalifah dalam peperangan Nahrawan. Beliau turut dibantu Ibn Abbas bagi melawan kelompok khawarij ini dari sudut perdebatan hujah keagamaan.

Ibn Abbas adalah sahabat Rasulullah SAW yang paling alim dalam ilmu tafsir al-Quran. Kebijaksanaan Saiyidina Ali mengutus Ibn Abbas bagi berhujah dengan golongan khawarij ini akhirnya membuatkan sebahagian kelompok ini kembali bertaubat dan meninggalkan fahaman radikal mereka.

Pendekatan lembut Saiyidina Ali bagi melawan naratif ekstrem golongan khawarij ini adalah contoh usaha deradikalisasi yang berkesan. Oleh itu, inisiatif pihak kerajaan Malaysia terutama menerusi Wisma Putra dalam mengaplikasi pendekatan lembut bagi melawan naratif pengganas adalah bertepatan dengan contoh yang ditunjukkan oleh Sahabat Rasulullah SAW.

Menurut dapatan pihak Cawangan Khas Bahagian E8 Counter-Terrorism Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, antara cabaran utama dalam mengekang kegiatan pengganas ini adalah kerana ia melibatkan faktor doktrinasi ideologi. Selagi mana ideologi sebegini masih hidup, selagi itulah kegiatan pengganas ini berleluasa. Maka ideologi yang menjerumus ke arah kancah keganasan ini perlu dilawan dengan naratif dan strategi yang berkesan.

Kerana itulah pendekatan lembut ini sangat penting dalam usaha PCVE iaitu Preventing and Countering Violent Extremism (mencegah dan melawan keganasan ekstrimisme). Pihak berwajib perlu melawan naratif pihak pengganas agar masyarakat tidak terpedaya dengan mereka. Kita perlu memberi penerangan kepada masyarakat tentang intipati ajaran Islam yang mementingkan keamanan dan keharmonian. Prinsip kesepaduan sosial perlu diwujudkan dalam memastikan pembinaan negara bangsa yang bebas daripada unsur ekstremisme.



Penulis Exco Media Strategik,  Ikatan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia
Sumber:https://www.hmetro.com.my

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

4-12-2024 04:46 PM GMT+8 , Processed in 0.046196 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list