|
Ibu bapa perlu latih anak uruskan wang sendiri
SATU kajian mengenai pengurusan wang oleh Majlis Pendidikan Tabungan Rakyat Amerika Syarikat dan Institut Penyelidikan Faedah Pekerja pada 2001 mendapati majoriti ibu bapa berasa yakin terhadap pemahaman mereka menguruskan wang.
Dalam pada itu, kajian berkenaan turut membongkarkan sikap dan tindakan negatif ibu bapa dengan 55 peratus daripada mereka menanggung hutang kad kredit setiap bulan. Lebih memeranjatkan kurang daripada separuh ibu bapa mengakui mereka mempunyai bajet yang dirancang.
Walaupun kajian itu dibuat di Amerika Syarikat, ada kemungkinan senario ini boleh berlaku di Malaysia. Persoalannya, sebagai ibu bapa, berapa ramaikah antara kita mendidik anak sejak kecil mengenai cara menguruskan wang dengan bijak, misalnya menggalakkan mereka menabung?
Yang pasti, sesetengah ibu bapa tidak begitu terdedah dengan pengurusan kewangan ketika kecil dan setelah berkeluarga dan mempunyai anak, mereka berasa tidak begitu selesa mengenai tanggungjawab keibubapaan mengenai aspek ini.
Apatah lagi, mereka sendiri tidak begitu yakin keupayaan dalam kemahiran pengurusan kewangan sendiri. Apa pun, sebagai ibu bapa, menjadi tanggungjawab mendidik anak mengenai pengurusan kewangan agar mereka lebih berkeyakinan dan bertanggungjawab kemudian hari.
Tabiat mengurus wang harus disemai sejak awal, seawal mereka tahu mengira dan tahu menggunakan wang. Seperti kata pepatah 憁elentur buluh biarlah dari rebung. |
|