|
Found it at last..
Pembawa perutusan kemerdekaan meninggal
TAIPING: Bekas pegawai Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang diamanahkan membawa perutusan kepada Tunku Abdul Rahman sempena kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957, Mejar (B) Mohd Khalid Abd Hamid meninggal dunia di rumahnya, kelmarin.
Beliau yang juga tokoh pejuang kemerdekaan menghembuskan nafas terakhirnya di No 9, Jalan Kakak Tua, Taman Kamunting dekat sini di sisi isterinya, Esah Elias, 75, kira-kira jam 9.15 malam kerana sakit tua.
Allahyarham yang berusia 85 tahun, meninggalkan lima anak perempuan dan dua lelaki berusia 37 hingga 48 tahun serta 21 cucu.
Esah ketika ditemui berkata, sebelum meninggal dunia, arwah suaminya sedang berehat di ruang tamu rumah sambil menonton televisyen bersamanya.
"Sambil berehat di ruang tamu, arwah menyapu bedak di badan saya apabila tiba-tiba mengadu dadanya sakit dan berasa mahu pergi ke tandas.
"Selepas keluar dari tandas, dia berbaring dan kemudian mengucap sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi saya," katanya sambil menambah hanya mereka berdua berada di dalam rumah ketika itu manakala seorang daripada cucu mereka berada di luar rumah.
Esah berkata, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum meninggal dunia kecuali ada menyatakan kerinduannya terhadap anak-anak yang menetap di Kuantan, Pahang dan Johor.
Esah yang turut hadir menyaksikan perisytiharan hari kemerdekaan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 1957, reda dengan pemergian suaminya.
Katanya, ketika Tunku masih hidup, beliau memang rapat dengan arwah suaminya dan selalu datang bermain pingpong di kawasan rumah sewa mereka di Petaling Jaya, Selangor. |
|