CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9288|Reply: 7

Pembentukan Malaysia

[Copy link]
Post time 15-9-2007 12:26 PM | Show all posts |Read mode
Kewujudan Malaysia dapat tentangan hebat Indonesia, Filipina
JIKA 31 Ogos diiktiraf Hari Kebangsaan, 16 September pula tarikh penubuhan Malaysia iaitu diwujudkan pada Isnin, 16 September 1963. Bermakna esok (Sabtu) genap 44 tahun usia Malaysia, negara yang dulunya dikenali Malaya sejak Inggeris menjajah di Tanah Melayu.

Malaysia merangkumi Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya (kini Semenanjung), Borneo Utara (Sabah) Sarawak dan Singapura dibentuk melalui pungutan suara Suruhanjaya Cobbold yang dihantar Inggeris pada 1962.

Singapura menyertai Malaysia dalam keadaan terdesak berikutan pengaruh komunis menular ke akar umbi Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew. Bagaimanapun pada 1965, Singapura bertindak keluar dari Malaysia.

Kewujudan Malaysia menerima tentangan hebat Indonesia dan Filipina. Indonesia melancarkan konfrontasi dengan kempen 慓anyang Malaysia
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 17-9-2007 09:51 AM | Show all posts
Sejarah hitam bentuk Malaysia
Oleh Nasron Sira Rahim
[email protected]




KETUA Pemuda Umno, Tun Sardon Jubir (baju batik) turut menyoal siasat tentera Indonesia yang ditahan di Labis, Johor.


Sukarno tentang keras idea penggabungan Sarawak, Sabah dan Brunei dengan Persekutuan Tanah Melayu hingga cetus konfrontasi

"SEMOGA konfrontasi tidak akan berulang lagi," demikian harapan Pensyarah Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Talib Samat tatkala mengenangkan keadaan kucar-kacir lagi meresahkan ketika berlakunya era konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia dari 1962 hingga 1966.

Beliau yang melakukan kajian mengenai kehidupan masyarakat ketika era konfrontasi khususnya di Felda Tenang di Labis, Segamat, Johor, pada tahun lalu, sayu ketika mendengar sendiri pengakuan penduduk betapa susah dan seksanya kehidupan pada zaman itu.

"Perintah berkurung dilaksanakan malah penduduk tidak berani keluar merayau ke mana-mana kerana khuatir ditembak askar Indonesia yang menceroboh," katanya yang merekodkan semua kajian itu dalam novel sejarahnya, 'Tenang Dalam Gelora'.

Lebih memilukan, kejadian konfrontasi yang membayangi pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 itu turut mencetuskan kekacauan serta pertempuran sehingga membabitkan kehilangan ramai nyawa termasuk di kalangan tentera Malaysia.

"Kemuncak konfrontasi Malaysia dan Indonesia bermula kira-kira jam 10 pagi pada 20 Januari 1963 apabila Menteri Luar Indonesia, Dr Subandrio mengisytiharkan menerusi media negara itu mengenai pendirian mereka untuk bermusuhan dengan negara kita," katanya sebelum memulakan kisah konfrontasi yang kini sudah lebih 40 tahun berlalu.




TENTERA Indonesia ditawan selepas menceroboh Malaysia. POSTER dihasilkan sebagai perang psikologi.

Dengan berslogankan 'Ganyang Malaysia', Presiden Indonesia ketika itu, Sukarno menentang keras idea penggabungan Sarawak, Sabah dan Brunei dengan Persekutuan Tanah Melayu bagi membentuk Malaysia pada 1961 sekali gus menjadi punca konfrontasi.

Sukarno yang dipengaruhi anasir hasutan Parti Komunis Indonesia (PKI) juga lantang menyuarakan bahawa Malaysia hanyalah boneka British dan penggabungan itu akan menambahkan kekuatan British di rantau Nusantara seterusnya dikhuatiri mengancam kemerdekaan Indonesia.

Ketika British berhasrat menggabungkan Sabah ke dalam Malaysia, polemik semakin meruncing apabila Filipina turut menuntut hak penguasaan ke atas Sabah dengan alasan negeri itu pernah memiliki hubungan sejarah dengan Filipina melalui Kepulauan Sulu, suatu ketika dulu.

Hasrat penggabungan itu bukanlah semudah cadangan di atas kertas, tentangan demi tentangan diberikan tidak saja oleh Indonesia dan Filipina tetapi juga di Brunei apabila Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) memberontak pada 8 Disember 1962.

Mereka cuba menangkap Sultan Brunei, menguasai ladang minyak dan penduduk Eropah lain di negara itu. Sultan bagaimanapun berjaya lolos dan meminta pertolongan British.

Pasukan British termasuk askar Gurkha dari Singapura kemudian tiba untuk membantu dan pada 17 April 1963, pemimpin pemberontakan ditangkap dan pemberontakan di Brunei berakhir.

Perang Indonesia terhadap Malaysia secara rasminya bermula selepas pengisytiharan 'konfrontasi' oleh Dr Subandrio pada 20 Januari 1963. Pada 12 April, tentera sukarelawan Indonesia mulai menceroboh Sarawak dan Sabah untuk menyebar propaganda, mencetuskan huru-hara dan mensabotaj.

Pada 27 Julai, Sukarno dengan lantangnya memekik supaya Indonesia 'mengganyang Malaysia' menyebabkan pencerobohan terus berlaku dan pertempuran bersenjata mula menggegarkan bumi Malaysia. Tembakan saling berbalas dan darah tumpah ke bumi.

Ketika ketegangan masih memuncak, Malaysia secara rasminya dibentuk pada 16 September 1963. Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu sekali gus membentuk Malaysia tetapi Brunei menolak penggabungan itu manakala Singapura bertindak keluar dari gagasan negara itu tidak lama kemudian.

Meskipun Filipina tidak turut serta dalam peperangan, mereka memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Ketegangan berterusan antara kedua-dua belah pihak yang dipisahkan Selat Melaka itu. Bangunan Kedutaan Britain di Jakarta dibakar penduduk yang merusuh. Ratusan perusuh menyerbu kedutaan Singapura di Jakarta selain rumah diplomat Singapura.

Bagaimanapun, berbanding Indonesia, Malaysia lebih mengambil sikap defensif apabila tidak menyerang balas sebaliknya hanya menahan dan mencegah kemasukan tentera Indonesia daripada terus menceroboh negara ini. Usaha tentera Malaysia itu turut dibantu tentera British dan Australia.

Di sepanjang perbatasan Kalimantan, peperangan berterusan dengan askar Indonesia terus cuba menduduki Sarawak dan Sabah tetapi dibalas dengan tembakan tanpa henti oleh tentera Malaysia.

Pada 1964, Indonesia kembali mencatur strategi. Sebilangan pasukan askar elit Indonesia diseludup masuk untuk menyerang wilayah tertentu di Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, 16 askar perisik Indonesia itu ditangkap di Johor pada Ogos tahun itu. Pencerobohan dan penyusupan masuk ke Semenanjung Malaysia menerusi jalan laut menyebabkan peperangan turut berlaku di kawasan perairan Selat Melaka.

Pada 17 Ogos, pasukan terjun payung Indonesia mendarat di pantai Johor dan menyusup ke dalam hutan bagi membentuk pasukan gerila. Pada 9 September 1964, sekali lagi pasukan terjun payung tentera negara asing itu didaratkan di Labis, Johor.

Bagaimanapun, kebanyakan tentera Indonesia yang mendarat di perbatasan Johor-Melaka berjaya ditangkap pasukan tentera Malaysia atau terbunuh.

'Pertempuran politik' turut tercetus apabila Malaysia diterima sebagai anggota tidak tetap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Sebagai protes, Sukarno mengumumkan pengeluaran Indonesia dari PBB dan cuba membentuk Persidangan Kekuatan Baru (Conference of New Emerging Forces) atau Conefo sebagai alternatif.

Selepas peperangan berterusan itu mengorbankan ramai nyawa, konfrontasi Malaysia-Indonesia berakhir selepas pemerintahan Sukarno digantikan dengan presiden baru iaitu Suharto menjelang akhir 1965.

Pada 28 Mei 1966, di sebuah persidangan di Bangkok, Thailand; Kerajaan Malaysia dan pemerintah Indonesia mengumumkan penyelesaian konflik. Kekerasan berakhir pada Jun dan perjanjian perdamaian ditandatangani pada 11 Ogos dan dirasmikan dua hari kemudian.

Serah diri selepas bersembunyi 21 hari

TIGA pesawat Hercules C130 berlepas meninggalkan Jakarta pada 9 September 1964 menuju ke daerah Labis, Segamat, Johor bersama puluhan tentera elit berpayung terjun Indonesia.

Bagaimanapun, tanpa diduga, dalam perjalanan itu, sebuah daripada tiga pesawat berkenaan menghadapi masalah dan akhirnya terjunam ke dalam perairan Selat Melaka sehingga mengorbankan nyawa anggota tentera yang bukan sedikit jumlahnya.

Dua pesawat lain bagaimanapun meneruskan penerbangan mereka bagi menjayakan operasi sulit itu. Pesawat itu mula memasuki kawasan Labis ketika malam mula menjelma. Hujan lebat pada petang menyebabkan kabus menyelubungi ruang udara Labis.

Sebaik sampai di koordinat yang diyakini selamat, 96 pasukan tentera elit Indonesia itu membuka pintu pesawat dan terjun melayang di udara. Sebaik memastikan jarak ketinggian yang sesuai, mereka menarik alat kawalan dan payung terjun di belakang terbuka. Mereka melayang dengan selamat.

Itulah sebahagian daripada episod drama konfrontasi Malaysia-Indonesia yang melanda negara dari 1962 hingga 1966 - 96 tentera elit Indonesia digugurkan pesawat dengan payung terjun untuk menyusup masuk ke Johor bagi memulakan serangan gerila.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 17-9-2007 09:56 AM | Show all posts
Itulah sebahagian daripada episod drama konfrontasi Malaysia-Indonesia yang melanda negara dari 1962 hingga 1966 - 96 tentera elit Indonesia digugurkan pesawat dengan payung terjun untuk menyusup masuk ke Johor bagi memulakan serangan gerila.

Penulis novel sejarah, Dr Talib Samat, berkata berdasarkan kajiannya, operasi rahsia itu turut mendapat bantuan 16 rakyat Malaysia berketurunan Cina termasuk dari Parti Komunis Malaya (PKM) dan dua pelajar Melayu yang membelot untuk menjadi penunjuk arah kepada pasukan berkenaan ketika mendarat di Johor.

"Sebenarnya ada sebab tertentu mengapa Indonesia memilih untuk menggugurkan tentera payung terjunnya di kawasan Segamat dan Batu Pahat. Ini disebabkan ramai penduduk di kawasan itu adalah berketurunan Jawa yang memiliki dialek percakapan dan budaya menyerupai tentera Indonesia.

"Dengan persamaan budaya dan dialek percakapan itu, mereka berharap dapat mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyamar sebagai penduduk tempatan ketika melakukan operasi dan serangan berkenaan," katanya yang juga pensyarah Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Beliau berkata, sebaik berita pendaratan pasukan askar berpayung terjun Indonesia itu tersebar, penduduk di kawasan itu berada dalam ketakutan dan perintah berkurung dilaksanakan. Kawalan dan pemantauan daripada tentera Malaysia selain pasukan sukarela juga diperketatkan.

"Penduduk hidup dalam ketakutan, mereka tidak berani keluar untuk menoreh getah kerana khuatir ditangkap atau ditembak tentera Indonesia," katanya.

Dr Talib bagaimanapun berkata, pasukan tentera Indonesia itu sebenarnya sudah 慸itipu
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 17-9-2007 10:43 AM | Show all posts
Mengingati Hari Malaysia
Oleh: HASSAN MOHD NOOR

HARI ini 16 September, adalah tarikh penting bagi negara kita. Pertamanya ulang tahun penubuhan Malaysia yang ke-44 dan kedua, sambutan ulang tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kali ke-74. Dua peristiwa ini amat bermakna bagi negara yang menyambut jubli emas ulang tahun kemerdekaan negara pada 31 Ogos lalu.

Bagi kebanyakan orang, 16 September mungkin tidak memberi sebarang makna berbanding 31 Ogos sebagai Hari Kemerdekaan. Tarikh 16 September pula bukanlah hari cuti umum seperti Hari Kebangsaan walaupun kebetulan hari ini, bagi kebanyakan negeri adalah cuti hujung minggu. Maka tidak hairanlah Hari Kebangsaan lebih diingati daripada Hari Malaysia.

Sepintas lalu, mengenai Hari ATM, sebelum tahun 1960-an, ia disambut pada setiap 31 Julai. Bagaimanapun pada sekitar awal tahun 60-an, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengarahkan supaya Hari ATM pada 31 Julai itu ditukarkan kepada Hari Pahlawan dan diraikan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sejak detik itu, ATM tidak mempunyai hari khusus untuk diraikan sehinggalah selepas penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Tarikh itu dipilih kerana berlaku kekosongan apabila kerajaan menarik balik keputusan menyamut Hari Kebangsaan pada 16 September.

Begitulah serba ringkas bagaimana Hari ATM disambut pada 16 September.

Malaysia pula ditubuhkan pada 16 September 1963 dengan gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah. Hari itu juga adalah hari perisytiharan kemerdekaan Sabah dan Sarawak.

Berikutan penubuhan Malaysia, institusi Yang di-Pertuan Agong yang pada awalnya hanya merupakan ketua negara bagi Tanah Melayu diperluaskan meliputi Singapura, Sarawak dan Sabah. Singapura keluar daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Konsep Malaysia yang digagaskan oleh Tunku Abdul Rahman berdiri di atas semangat perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Konsep ini berasaskan pada idea Persekutuan di mana negeri-negeri menyerahkan sebahagian kedaulatannya kepada kerajaan Persekutuan untuk memberi kekuatan kepada keseluruhan gabungan.

Namun begitu, entiti setiap negeri kekal dengan Singapura, Sabah dan Sarawak mempunyai bidang kuasa lebih luas berbanding negeri-negeri lain di Tanah Melayu.

Sejarah penubuhan Malaysia bermula apabila Tunku Abdul Rahman mengadakan lawatan ke Sarawak, Sabah dan Brunei antara bulan Jun hingga Julai 1961 bagi menerangkan konsep, tujuan dan matlamat penubuhan Malaysia. Sebelum itu, pada akhir bulan Mei, Tunku berucap di Singapura. Hasilnya sebuah Jawatankuasa Perunding Perpaduan Kaum (JPPK) ditubuhkan di Singapura pada Jun 1961 yang dipengerusikan oleh Donald Stephans.

Sejak itu, bermulalah peranan JPPK termasuk menerangkan kepada orang ramai tentang gagasan Malaysia, mendapatkan pandangan penduduk dan menggalakkan kegiatan ke arah pembentukan Malaysia.

Dalam mesyuarat terakhir di Singapura pada Februari 1962, JPPK sepakat mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold (SC) yang dibentuk oleh kerajaan British. SC dalam tinjauan pendapat penduduk Sabah dan Sarawak mendapati satu pertiga penduduk menyokong gagasan Malaysia tanpa syarat, satu pertiga menyokong dengan syarat (kepentingan mereka dilindungi) dan satu pertiga lagi inginkan kemerdekaan sebelum menyertai Malaysia.

SC juga mencadangkan beberapa cadangan iaitu perlembagaan Malaysia harus berasaskan Persekutuan Tanah Melayu 1957, Sabah dan Sarawak diberi kuasa menentukan dasar imigresennya, bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan, jaminan terhadap hak dan kedudukan bumiputera Sabah dan Sarawak, pemberian nama Malaysia kepada negara baru yang dibentuk dan penentuan tarikh penubuhan Malaysia.

Dan menjelang Disember 1962, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak bersetuju dengan pembentukan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Bagaimanapun tarikh itu terpaksa ditunda pada 16 September 1963 disebabkan laporan daripada PBB tidak dapat disiapkan serta tentangan daripada Indonesia dan Filipina manakala Brunei menarik diri pada sat-saat akhir.

Bagaimanapun perjanjian Malaysia ditandatangani pada 9 Julai 1963 dan pada bulan berikutnya, Ratu Elizabeth II memperkenankan Akta Malaysia yang diluluskan oleh Parlimen British. Akhirnya perjanjian Malaysia diluluskan oleh Parlimen Tanah Melayu, Dewan Perhimpunan Singapura, Majlis Undangan Sarawak dan Majlis Undangan Sabah. Pada 26 Ogos 1963, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan Akta Malaysia.

Dan pada 16 September 1963, Malaysia ditubuhkan secara rasmi. Antara lain inti pati perjanjian Malaysia 1963 ialah:

* Semua urusan hal ehwal luar menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan.

* Islam
Reply

Use magic Report

Post time 29-7-2008 03:37 PM | Show all posts
"SEMOGA konfrontasi tidak akan berulang lagi," demikian harapan Pensyarah Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Talib Samat tatkala mengenangkan keadaan kucar-kacir lagi meresahkan ketika berlakunya era konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia dari 1962 hingga 1966.

Beliau yang melakukan kajian mengenai kehidupan masyarakat ketika era konfrontasi khususnya di Felda Tenang di Labis, Segamat, Johor, pada tahun lalu, sayu ketika mendengar sendiri pengakuan penduduk betapa susah dan seksanya kehidupan pada zaman itu.

"Perintah berkurung dilaksanakan malah penduduk tidak berani keluar merayau ke mana-mana kerana khuatir ditembak askar Indonesia yang menceroboh," katanya yang merekodkan semua kajian itu dalam novel sejarahnya, 'Tenang Dalam Gelora'.



Untuk makluman semua...Novel Tenang Dalam Gelora ini diolah dari fakta yang diambil terang2 dari tesis seorang pelajar UPSI anak jati Felda Tenang dengan tanpa kebenaran dan Dr Talib Samat dengan bangganya mengaku ia hasil dari kajiannya.

Tesis itu hasil kajian Saiful B. Ahmad danyang menariknya salah satu watak utama dalam novel ini bernama saiful bin Ahmad!

Harap pihak2 tertentu dapat menyiasat perkara ini.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-7-2008 04:08 PM | Show all posts

Reply #5 anakfelten's post

hasil plagiat?

Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 29-7-2008 05:10 PM | Show all posts
Saiful Ahmad selepas mendapat ijazah terus menetap di  Felda Tenang dan mengajar di sekolah berhampiran, dan selama itu tiada
siapa yang berjumpanya atau orang kampung bagi menghasilkan kajian baru tentang konfrontasi di Felda Tenang..
Reply

Use magic Report

Post time 31-7-2008 11:05 AM | Show all posts
inilah yang dikatakan lembu punya susu, sapi dapat nama.... terbakar kampung nampak asapnya, terbakar hati siapa yang tahu..... saya tin beskut melaporkan dari kilang beskut cap apek naik beskal.....
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-12-2024 01:27 AM GMT+8 , Processed in 0.048148 second(s), 22 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list