CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1472|Reply: 2

GEJALA BLOG PICISAN

[Copy link]
Post time 4-3-2009 12:16 PM | Show all posts |Read mode
GEJALA BLOG PICISAN
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
KITA DAN DUNIA GLOBALISASI
Dunia globalisasi hari ini mempersembahkan kepada kita pelbagai kecanggihan yang semuanya boleh diterokai dengan kawalan hujung jari. Ia dimanfaatkan oleh insan yang memanfaatkannya dan dipergunakan oleh manusia untuk memudaratkan orang lain, serta di waktu yang sama yang tersiratnya ialah memudaratkan diri mereka sendiri. Manusia menggunakan kemudahan dan kecanggihan ini dengan pelbagai tujuan, matlamat baik terpuji mahupun yang terkeji. Sekaligus ia menjadi wadah bagi menyampaikan dan mengetengahkan idea-idea yang diilhamkan oleh Allah dari kebaikan,keluhuran dan kejujuran ataupun dari bisikan dan runtunan hawa nafsu syaitan. Khalayak yang kreatif dan kritis sahajalah yang mampu membezakan di antara keduanya berdasarkan renungan mata hatinya, diselia oleh petunjuk al Qur’an dan Sunnah serta kata-kata hikmah nasihat para salafussoleh.
BLOG PICISAN; JALAN PINTAS DAN PENTAS UNTUK YANG TAK BERKELAYAKAN
Manusia melalui episod-episod dalam hidupnya dari aspek pembesaran, pengkajian, penelitian, pembinaan jati diri dan pembentukan peribadi yang mulia. Bagi yang membesar dengan mengambil berat nilai-nilai ini, mereka akan tampil sebagai khalayak yang suaranya didengari, kehadirannya disambut dan dirai, dijemput ke sana-sini diminta menyampaikan faedah, manfaat dan nasihat untuk masyarakat yang dahaga. Peribadi yang membesar dengan kemuliaan ini juga diminta-minta untuk menulis sesuatu sebagai santapan anak bangsa, membentuk peribadi masyarakat, menyemai pemikiran positif dan fikrah yang baik di ufuk pemikiran anak bangsa. Manakala golongan yang tidak melalui episod-episod di atas, mereka membesar dan tampil di alam dewasa dalam keadaan serba kekurangan. Tiada pentas yang disediakan untuknya berucap, tiada yang mahu dan meminta-meminta idea dan pendapatnya, tiada yang menghargai dan mengenalpasti tahap kemampuan dan kreativitinya dalam menyelesaikan sesuatu kemelut. Dalam masa yang sama jiwanya meronta-ronta juga untuk memberi ucap nasihat, meluahkan keluh kesah hidup ini, melonjak-melonjak untuk tampil memberikan idea.
Namun malangnya, tiada pentas dan jemputan untuknya dan untuk mereka-mereka seperti ini melampiaskan gejolak rasa di jiwanya. Dari situasi yang demikian, mereka memilih cara atau jalan murahan untuk menyampaikan idea dan fikrahnya yang tumpul, tidak kreatif dan kritis, ucapan dan pidatonya yang berapi-api tetap tidak mampu membakar hati insan-insan yang mendengar untuk kembali kepada Tuhan. Wadah yang paling mudah dan murah untuk orang-orang yang tidak mendapat jemputan untuk memenuhi pentas-pentas umat ini adalah dengan meluah rasa dan geram dalam helai-helaian, lembar-lembaran dan blog-blog yang tidak lebih dari diistilahkan sebagai ‘Blog Picisan’.
IDEOLOGI POLITIK MENTAH
Kekeringan idea, kegersangan dan ketandusan buah fikiran bernas untuk diketengahkan menjadi sebab kepada lahirnya beribu-ribu malahan jutaan blog picisan. Tiada yang mampu mereka sampaikan di situ melainkan kisah-kisah pengalaman diri yang ditulis dan dipapar untuk bacaan umum. Ditulis dan dikarang dengan sebegitu rupa, dihias indah demi menarik perhatian manusia membaca kisah-kisah dan pengalamannya yang kurang berharga. Tidak seperti insan-insan agung dari tokoh-tokoh umat yang pengalaman mereka diselidik, ditanya, dijemput untuk diwawancara serta dicari-cari untuk dijadikan sebagai khazanah berharga buat anak bangsa dan agama.
Maka duduklah dia melayan rasanya, melirikkan kisah-kisah hidup dan perjalanan rohani di dalam blognya dengan harapan akan ada khalayak pembaca yang menyedari sedikit potensi dalam dirinya itu. Maka blog adalah meja panel forumnya, mimbar-mimbar masjid dan pentas-pentas ucapannya. Di situlah dia berkhutbah dan berpidato, menyampaikan rasa tidak puas hatinya kepada sesiapa yang tidak sehaluan dengannya sedangkan khalayak pembaca dan masyarakat tahu benar potensinya yang rendah, kualiti buah fikirannya yang hampa dan tidak efektif lagi praktikal. Apatah lagi blognya itu menjadi pentas mereka-mereka ini mendokong ideologi politik mereka yang mentah, tiada unsur kematangan, tidak mampu ditelankan oleh dirinya sendiri mahupun khalayak pembaca kerana ia amat memualkan lagi menjijikkan. Barangkali parti politiknya itu bagus, akan tetapi cara mereka mendokongnya adalah teramat murahan, dengan caci maki, serangan-serangan peribadi dan sikap-sikap seperti ini tidaklah disangsikan lagi kejelekan dan kebusukannya walaupun di sisi serendah-rendah tahap pemikiran sesuatu bangsa.
Pendokongan terhadap ideologi mentah dan memualkan dalam politik juga berkait rapat dengan kefahaman dan taraf pengkajian seseorang terhadap parti dokongannya. Apatah lagi yang menyertai suatu kumpulan dan fahaman tanpa asas dan fakta yang betul lagi diyakini. Tidaklah menghairankan jika ramai juga pendokong-pendokong suatu ideologi politik bersikap begini di zaman lompat-melompat parti, menyertai parti yang lain atas dasar ketidakpuasan hati terhadap sesuatu permasalahan, pergeseran peribadi, perebutan pangkat dan harta sesama ahli dan banyak lagi.
Situasi-situasi seperti inilah yang menjadikan kebanyakan pendokongnya tidak sempat mengkaji sejarah peradaban politik dunia serta pengajaran yang dapat dipetik dari sejarah-sejarah itu, mengkaji pendapat-pendapat tokoh-tokohnya, serta membuang masanya dari duduk membentuk acuan dokongan politik yang secocok dengan perintah sunnah. Akibat masa yang dibazirkan itu, maka tiada yang berbaki di benak mereka melainkan perasaan keras hati, dendam kesumat, idea-idea yang tidak bernas, taksub, ekstrim. Hatinya mudah benar terbakar apabila berhadapan dengan mereka yang tidak sehaluan dalam ideologi dan fikrahnya. Apabila disentuh sedikit tentang apa-apa yang berkaitan dengan kekurangan ideologi politiknya, maka tiada sifat lembut dan lunak dalam hatinya untuk dipamerkan melainkan yang berbaki itu tadilah yang dikeluarkan. Cacian, merendah-rendahkan kedudukan orang lain, menyerang kehormatan peribadi umat tanpa had dan sempadan. Mengapa? Kerana dalam hati dan jiwanya tiada rasa untuk mengutamakan nas-nas akhlak dalam agama, tiada langsung idea, hikmah dan bernas dalam berhadapan dengan sesuatu yang kontra dengan akal fikirannya yang dijadikan Allah dengan serba macam kekurangan. Maka benarlah bahawa jika sikap ini berterusan, dia memang tidak akan memiliki pentas untuk berbicara selama-lamanya melainkan pentas blog picisannya.
KOMENTAR MEWAKILI IDEOLOGI POLITIK
Demikianlah juga mereka-mereka yang mengasaskan blog-blog picisan yang mewakili peribadinya, blog yang bersifat loya dan memualkan tersebut sedikit sebanyak menyentuh tentang ideologi politiknya. Mendokong pihak di sini dan menyerang pihak di sana. Mereka-mereka ini telah benar-benar menyempitkan ufuk pemikiran mereka yang alangkah eloknya kalau diluaskan. Kongkongan ideologinya yang radikal ini menjadikan mereka memandang bahawa yang betul, tepat dan syumul dari diri dan ideologi politiknya. Dalam kata lain, ideologi perkumpulannya sahajalah yang mewakili suara Islam di muka bumi ini. Maka sempadan dan jurang terhasil dari ketaksuban ini, nafsu dan syaitan mengipas dan meniup di dalam hatinya bahawa selain dari ideologimu adalah batil dan tidak Islam, maka selain dari perkumpulanmu sama ada dari pihak di sana atau yang tidak memihak kepada mana-mana pihak adalah sama berada pada barisan musuh yang perlu disapu rata dimusnahkan.
Walaupun mereka cuba sedaya upaya menafikan bahawa serangan-serangan peribadi itu tidak mewakili suara parti politiknya, tetap juga khalayak pembaca yang kreatif dan kritis tidak boleh menerimanya kerana serangan peribadi yang dilancarkan itu berpunca dari ketidakpuasan hatinya terhadap mereka-mereka yang tidak bersama mendokong ideologi politiknya yang disangkakan syumul dan maksum. Maka di sini, secara tidak langsung dia menjadi jurucakap tidak rasmi bagi pihak parti dan ideologi politiknya. Mereka mengaum, mengembek, memekik menyerang peribadi umat Islam dan dalam masa yang sama mereka menjadi jurucakap tidak rasmi dan mengumumkan kepada khalayak bahawa itulah manhaj, jalan dan pegangan parti politiknya yang menghalalkan apa saja bagi meraih undi majoriti. Namun suatu perkara yang merugikan dan tidak disedari mereka, semakin kuat mereka mengaum, semakin jelas taring-taring kezaliman kelihatan dan diperhatikan oleh khalayak umat yang kreatif dan kritis. Membuka segala keburukan dan kejelekan pekung ideologi parti politik mereka. Demikianlah beberapa perkara yang manusia kurang benar teliti mengenainya. Ia hanya dapat diteliti oleh mereka-mereka yang benar dan bersungguh dalam mempersembahkan pengabdian dan penyerahan kepadaNya. Maka adalah selepas dari itu, Dia jualah yang Maha Tinggi Lagi Maha Mengetahui.
Mujahid bin Abdul Wahab

http://yayasansofa.blogsome.com/
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 4-3-2009 12:50 PM | Show all posts
adeh.....!!! pening nak bace.... perenggan please...........!!
Reply

Use magic Report

Post time 6-3-2009 04:13 PM | Show all posts

Reply #1 syeduum's post

thread picisan.perenggan tadak
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic
Perhimpunan Benci Rasuah 'flop', tak sampai seribu dik
maklukpenggodaPerhimpunan Benci Rasuah 'flop',
Views : 7902 Replies : 21
Fatima jangan sedih, hati 'daddy' memelukmu selamanya - Fattah
RalineFatima jangan sedih, hati 'daddy'
Views : 25885 Replies : 277
Anak ramai, rezeki atau musibah?
maklukpenggodaAnak ramai, rezeki atau musibah?
Views : 5220 Replies : 3
5 jelitawan bujang ‘terlajak’ kesayangan Malaysia
Raline5 jelitawan bujang ‘terlajak’ kesayang
Views : 4058 Replies : 9
Kondo RM120 sebulan untuk Shuhada Shukri (Shu as it SHU!). KANTOI gambar kat PD cilok dari Pinterest!
Parit.HiltonKondo RM120 sebulan untuk Shuhada Shukri
Views : 115939 Replies : 1038
‘Allah sebaik-baik perancang, Insya-Allah pada masa yang ditetapkan’ – Ameera tawakal kahwin dengan Jefri Nichol
Raline‘Allah sebaik-baik perancang, Insya-All
Views : 8045 Replies : 58
Harga kopi latte 2025
YgBenarHarga kopi latte 2025
Views : 10808 Replies : 10
Acikpor vs. Ngai
maklukpenggodaAcikpor vs. Ngai
Views : 150199 Replies : 5031
good info
fdsghye5egood info
Views : 4344 Replies : 0
New Chapter 01: FATTAH AMIN ~ Bebaskanlah mimpi-mimpi terindah
codenamedreamNew Chapter 01: FATTAH AMIN ~ Bebaskanla
Views : 188603 Replies : 8469

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-1-2025 04:00 AM GMT+8 , Processed in 0.041016 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list