CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3458|Reply: 1

History : Photos for the Future -

[Copy link]
Post time 1-4-2009 06:08 AM | Show all posts |Read mode
Foto Zaharah jadi pilihan

Oleh JOHANNA A. SOBREY

Saya sedar, ibu pernah menjadi anggota polis tetapi tidak menyedari bahawa dia merupakan salah seorang pegawai polis wanita pertama dalam sejarah negara.




AZRUL SIDEK menunjukkan koleksi gambar-gambar lama
yang masih ada dalam simpanan keluarganya.


IA sekeping gambar yang cukup bermakna bagi Zaharah Routin Ibrahim, 76. Tetapi tanpa dia sedari, gambar itu sebenarnya mempunyai signifikan besar dalam lipatan sejarah negara.

Gambar hitam putih itu memaparkan tujuh orang wanita berbaris dan berdiri teguh dengan raut wajah penuh bangga dalam persalinan pakaian seragam polis. Bezanya, mereka memakai skirt dan bukannya seluar seperti yang dipakai oleh anggota polis wanita hari ini.

Siapakah mereka di dalam potret tersebut? Mereka adalah kumpulan pegawai polis wanita yang dahulunya dikenali sebagai Inspektor Polis Wanita yang pertama di Malaysia.

"Gambar ini dirakamkan pada Januari 1956 di Depot Polis, Jalan Gurney, Kuala Lumpur. Wanita-wanita itu, termasuk ibu saya, Zaharah Routin Ibrahim, merupakan kumpulan polis wanita pertama di negara ini.

"Bayangkan, sekeping gambar ini boleh menceritakan satu detik sejarah yang besar untuk negara. Itulah sebabnya, kenapa saya menghantar gambar tersebut untuk dinilai bagi projek inisiatif Photos for the Future yang disiarkan di saluran History dalam televisyen satelit Astro," kata Ketua Perkhidmatan Multimedia di Jabatan Komunikasi, Bursa Malaysia, Azrul Sidek Adnan, 45.

Projek inisiatif Photos for the Future itu dijalankan dengan kolaborasi antara saluran History dan Badan Warisan Malaysia yang antara lain bertujuan memelihara sejarah di rantau Asia dengan merekodkan kehidupan visual pada waktu silam.


ZAHARAH Routin Ibrahim (tiga dari kanan) bersama enam
pegawai polis wanita yang pertama di Tanah Melayu.


Gambar itu merupakan antara 20 gambar terbaik yang dipilih dalam projek inisiatif tersebut yang bermula pada November tahun lalu.

Selain bingkai gambar digital yang turut dimenangi 19 peserta lain, Azrul muncul sebagai pemenang hadiah utama menerusi sesi penggambaran potret oleh jurugambar selebriti, Kid Chan, yang bernilai lebih daripada RM10,000.

"Saya selalu melihat gambar ini di dalam album tetapi tidak pernah berbicara mengenainya. Saya tahu ibu pernah menjadi anggota polis tetapi tidak menyedari bahawa dia merupakan salah seorang pegawai polis pertama dalam sejarah negara.

"Ibu menyimpan gambar ini dalam album dan seperti album-album lain, ia disimpan rapi dan hanya dilihat oleh golongan tertentu seperti kaum keluarga," ujar Azrul ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.



GAMBAR hitam putih bertajuk Coffee Shop.

Bagaimana Azrul tahu tentang nilai yang ada pada gambar tersebut? Menjawab soalan itu, Azrul memberitahu, semuanya bermula ketika dia menonton televisyen pada suatu hari.

"Saya terlihat iklan Photos for the Future yang menggalakkan orang ramai menghantar gambar-gambar lama untuk dikongsi bersama dan dimasukkan ke dalam arkib mereka.

"Fikiran saya terus terlintas pada gambar emak ketika berkhidmat sebagai anggota polis dan saya terus mencarinya untuk dihantar ke saluran History," ujarnya yang meminta maaf kerana ibunya tidak dapat hadir atas sebab kesihatan untuk sesi temuramah ini.

Menceritakan sedikit sebanyak mengenai ibunya, Azrul yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata: "Semuanya bermula melalui satu iklan di surat khabar. Iklan itu mempelawa sesiapa yang berminat untuk menjadi kumpulan pertama polis wanita menghantar permohonan.

"Ketika itu, ibu saya berusia 22 tahun dan merupakan seorang guru yang mengajar bahasa Inggeris di Alor Setar, Kedah," ujarnya.


KIRIMAN daripada seorang peserta yang memilih tajuk Barber Shop.

Sungguhpun berpuas hati dengan kerjayanya sebagai guru, kata Azrul lagi, ibunya begitu terpesona dan mempunyai semangat ingin tahu mengenai jawatan baru yang ditawarkan itu.

"Pada waktu itu, belum ada lagi barisan polis wanita. Jadi, ibu tertarik dan cuba memohon.

"Lebih daripada 200 orang memohon jawatan itu dan ibu menjadi antara tujuh orang yang dipilih," katanya.


MY Dad menjadi tajuk gambar ini.

Jawatan pegawai polis wanita yang ditawarkan itu adalah yang pertama diperkenalkan di Tanah Melayu.

"Bagi ibu, ia juga mencipta sejarah peribadi apabila ibu buat pertama kali mengembara seorang diri dari Kedah ke Kuala Lumpur untuk menjalani latihan polis di Jalan Gurney.

"Ibu pernah berkata, disebabkan kerjaya polis wanita adalah sesuatu yang baru, setiap kali ibu bertugas, orang akan memandangnya.

"Mereka dilihat sebagai satu tarikan tersendiri dengan pakaian seragam yang mereka pakai. Ibu pernah berseloroh bahawa mereka umpama selebriti kerana perhatian yang diberikan," cerita Azrul yang memaklumkan tempoh latihan ibu adalah selama lapan bulan.



TUJUH beradik dipotretkan oleh ibu bapa mereka
dalam gambar bertajuk Family Tree.




Menjelaskan lebih lanjut, katanya, kumpulan pegawai polis wanita pertama itu dilatih oleh pegawai polis lelaki dan seorang polis wanita dari British. Seperti latihan masa kini, mereka didedahkan mengenai undang-undang, mengikuti latihan menembak, seni mempertahankan diri dan juga teknik mengambil cap jari.

"Kebanyakan kes yang dikendalikan oleh mereka berkaitan dengan wanita dan kanak-kanak."

"Ibu bertugas di Pulau Pinang dan tidak berhadapan dengan kesukaran ketika bertugas. Mereka dilayan dengan baik oleh orang awam dan anggota polis yang lain.

"Disebabkan mereka hanya bertujuh dan menjalani satu kehidupan bersama, hubungan mereka akrab sehingga hari ini. Namun, dua daripada ahli kumpulan itu telah meninggal dunia," jelas Azrul.

Sungguhpun berpuas hati dengan tugasan baru yang mencabar, namun Zaharah mendapati dia sukar meneruskan kerjaya itu selepas berkahwin pada tahun 1959.

"Salah satu sebabnya adalah bapa saya merupakan anggota tentera dan kami sekeluarga sering berpindah. Ketika itu, tidak banyak tempat yang mempunyai ruang untuk polis wanita. Ia menyukarkan lagi keadaan ibu.

"Selain itu, disebabkan pengalamannya mengendalikan kes dera kanak-kanak, ibu memutuskan untuk berhenti kerja apabila melihat kecederaan teruk yang dialami oleh kakak saya ketika dijaga oleh seorang pengasuh," katanya.

Tidak pernah menyesal atas keputusannya, Zaharah kemudiannya beralih kerjaya sebagai seorang suri rumah.

Namun, kata Azrul, ibunya sangat berbangga kerana dapat berkhidmat untuk negara dan merupakan salah seorang dalam kumpulan polis wanita pertama.

Selain gembira dengan kejayaannya dalam Photos for the Future, Azrul yang amat menggemari seni fotografi itu juga berasa bertuah kerana dapat berkongsi gambar tersebut dengan khalayak umum.

"Sekiranya inisiatif seperti ini tidak dilaksanakan, generasi masa hadapan tidak akan tahu tentang sejarah yang berlaku di dalam negara sendiri.

"Bagi saya, gambar-gambar ini mengisahkan peristiwa-peristiwa penting yang tidak terdapat dalam bahan bacaan biasa. Ia sejarah peribadi yang bermakna untuk semua," kata Azrul lagi.

Pada satu perkembangan lain, Pengurus Besar AETN All Asia Networks, Louis Boswell, berkata, penganjuran projek Photos for the Future telah dilancarkan pada tahun 1999 di Britain.

"Peserta diminta menghantar sekeping gambar yang diambil dari abad ke-20. Kemudian mereka perlu menjelaskan secara ringkas kenapa gambar yang dihantar itu layak terpilih berdasarkan nilai sejarah dan kemampuan menarik generasi masa hadapan.

"Sejak itu, lebih daripada 12,000 keping gambar telah dihantar dan hasilnya, lahir dua buku mengenainya," jelas Boswell dalam satu temuramah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dengan kejayaan projek inisiatif tersebut, beliau berkata, projek itu juga telah diperkenalkan di beberapa negara lain sebelum dilancarkan di Asia pada 10 November tahun lalu.

"Sebanyak sembilan negara termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Hong Kong dan Filipina menyertai projek ini," katanya.

Boswell memberitahu, mereka menerima kira-kira 1,000 penyertaan dan separuh daripadanya dari Malaysia. Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia amat memberi sokongan terhadap usaha-usaha pemeliharaan sejarah.


Bercerita tentang gambar kegemaran beliau yang telah dihantar oleh peserta Malaysia, Boswell berkata: "Dalam 20 gambar terbaik yang dipilih, saya paling suka gambar bertajuk Past, now and future.

"Ia adalah gambar sebuah keluarga yang berhijrah ke Malaysia dari China. Mereka mahu mengambil potret keluarga tetapi terlalu miskin untuk memakai barangan kemas.

"Jadi, jurugambar yang mengambil gambar mereka telah melukis rantai dan subang untuk wanita dalam keluarga itu," ujarnya.

Katanya lagi: "Sejarah bukan sesuatu yang hanya boleh diperoleh menerusi buku teks. Setiap orang mempunyai sejarah sendiri dengan kepelbagaian budaya. Saya pasti, rakyat negara ini mempunyai banyak cerita yang boleh dipaparkan menerusi gambar.


"Photos for the Future membolehkan penonton berkongsi sejarah mereka dan seterusnya menghubungkan mereka dengan masa lampau, kini dan hadapan," ujar Boswell yang mengalu-alukan penyertaan yang berterusan.




************************************************************************************

best betul program ni.... selalu juga tengok rancangan Hist kat astro
so.. nanti boleh la tunggu bila ada mengenai photos for the future
bagus orang2 yang share gambar2 lama ni.. seronok dapat back to the
future so to speak -
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 1-4-2009 08:16 AM | Show all posts
gambar dexa time muda2 tak adakah?

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-12-2024 11:40 PM GMT+8 , Processed in 0.052738 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list