[size=0.8]Oleh Nur Izzati Mohamad - Oktober 25, 2021 @ 3:55pm[email protected]
Pegawai JAS Pulau Pinang melakukan siasatan dan pemeriksaan Sungai Kubang Semang yang dicemari sisa minyak. - Foto ihsan JAS Pulau Pinang
BUKIT MERTAJAM: Sebuah premis penyelenggaraan kenderaan di Jalan Permatang Nibong, di sini, dikompaun RM30,000 dan diarah menghentikan pelepasan buangan minyak serta menjalankan kerja pembersihan tumpahan minyak yang memasuki Sungai Kubang Semang dengan segera bagi mengawal sebarang impak alam sekeliling yang lebih serius.
Arahan serta-merta itu dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang selepas turun membuat siasatan ke atas sungai berkenaan malam kelmarin dan pagi semalam berikutan mendapat aduan orang awam.
Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata tindakan kompaun ke atas premis berkenaan pula dibuat kerana gagal mematuhi peruntukan undang-undang mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
"JAS negeri menerima aduan orang awam berhubung pencemaran sisa minyak di sungai itu pada jam 9.24 malam kelmarin.
"Susulan itu, pegawai JAS turun menjalankan siasatan awal ke atas lokasi pencemaran buangan minyak terbabit yang mana pemeriksaan pada jam 11 malam kelmarin yang dijalankan sekitar empat kilometer sepanjang sungai itu mengesan kilauan minyak.
"Pemeriksaan keesokan harinya pula mendapati pelepasan buangan minyak itu berpunca daripada sebuah premis penyelenggaraan kenderaan komersial atau lori berhampiran sungai terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sharifah Zakiah berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati pihak premis gagal menyelenggara perangkap minyak dan pemintas minyak dengan baik.
"Hal ini menyebabkan berlaku pencemaran minyak daripada premis terbabit ke dalam perairan daratan.
"Premis itu yang menjalankan perniagaan kontrak pengangkutan komersial bersama beberapa syarikat petrokimia utama di Malaysia turut gagal menguruskan buangan terjadual yang dihasilkan mengikut kehendak Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
"Selain itu, premis berkenaan juga gagal menyediakan orang yang berwibawa bagi menguruskan buangan terjadual seperti kehendak Seksyen 49A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.
Sementara itu, Sharifah Zakiah berkata, pemeriksaan pada hari sama juga mendapati parit monsun dalam kawasan premis turut dicemari buangan minyak berpunca daripada pemintas minyak, kawasan penstoran buangan terjadual, dan ruang pembasuhan kenderaan berat.
"Tumpahan minyak turut dikesan di atas tanah berhampiran tangki diesel dalam kawasan premis.
"Berikutan itu, kompaun RM30,000 dikenakan dan arahan serta-merta dikeluarkan bagi premis berkenaan menghentikan pelepasan buangan minyak serta menjalankan kerja pembersihan tumpahan minyak yang semua kos ditanggung sendiri, selain diarahkan menjalankan kajian tanah tercemar," katanya.
Katanya, JAS memandang serius isu pencemaran yang berlaku dan tindakan lebih tegas akan dikenakan kepada pihak premis bagi kesalahan lain yang mungkin ditemui ketika pemeriksaan susulan kelak.
"Sebarang aduan atau maklumat berkaitan pencemaran alam sekitar yang tertakluk kepada bidang kuasa JAS boleh dikemukakan melalui saluran talian bebas tol 1-800-88-2727 atau laman sesawang e-Aduan di pautan https://eaduan.doe.gov.my/," katanya.