[size=0.8]Oleh Izad Thaqif Hassan - Oktober 26, 2021 @ 12:53pm[email protected]
SUNGAI PETANI: Seorang penjaja minuman mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini terhadap dua tuduhan melakukan amang seksual terhadap anak kandungnya Disember tahun lalu dan Jun lalu.
Pengakuan itu dibuat selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan melalui sidang video aplikasi Whatsapp kerana tertuduh tidak dapat hadir ke mahkamah berikutan menjalani kuarantin di lokap.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya yang berusia 16 tahun ketika berada di rumah mereka di Gurun jam 3 pagi 25 Disember tahun lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan kesalahan sama pada 25 Jun lalu jam 5.30 petang di lokasi sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) AKSTKK 2017.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 14(a) AKSTKK 2017, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan juga sebat.
Seksyen 16 (1) AKSTKK 2017 pula memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan boleh disebat tidak kurang daripada dua sebatan.
Mahkamah menetapkan 24 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan dan juga fakta hukum.
Kes dikendalikan Pegawai Siasatan dan Perundangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Superintendan Mohd Fakruzi Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.