|
FILEM The Eternals mula ditayangkan di pawagam tempatan bermula 4 November lalu.
The Eternals tidaklah seteruk yang disangka
RAMAI yang memberikan ulasan kurang baik terhadap filem terbaharu Marvel Cinematic Universe (MCU), The Eternals.
Naskhah arahan Chloé Zhao tersebut kini tercatat sebagai antara filem MCU mendapat rating paling corot dalam laman kritikan filem, Rotten Tomatoes ‘menewaskan’ filem-filem seperti Thor: The Dark World, The Incredible Hulk dan Captain Marvel.
Teruk sangatkah The Eternals? Secara peribadi, penulis tidak berasakan naskhah berkenaan paling teruk jika dibandingkan dengan 25 karya MCU yang lain. Mungkin dari segi plot atau naratif, The Eternals sedikit berkecamuk kerana terlalu banyak perkara yang mahu disumbat.
Berjela-jela
Karakter-karakter adiwira dalam The Eternals juga masih baharu dan terlalu asing untuk dibualkan khalayak.
Itu juga mungkin antara faktor ramai dalam kalangan peminat filem MCU merasakan karya berkenaan kurang ‘kick’.
The Eternals disifatkan sebagai filem MCU dengan rating paling rendah dalam kalangan pengkritik filem antarabangsa.
Dari segi terjemahan karakter, Chloé menjalankan peranan yang baik sebagai pengarah. Selepas 157 minit menonton, peminat diberikan pengenalan sempurna terhadap 10 karakter adiwira utama seperti Ajak, Sersi, Ikaris, Kingo, Sprite, Phastos, Makkari, Druig, Gilgamesh dan Thena.
Dari aspek teknikal seperti efek bunyi dan sinematografi, The Eternals bukanlah karya terbaik, namun bukanlah terburuk. Kekuatan filem berkenaan bagaimanapun terlihat dari sudut lakonan, tema, visual dan representasi.
Berdurasi lebih dua jam, pergerakan naratif dan perkembangan karakter The Eternals agak kurang memuaskan, terlalu panjang filem dan berjela-jela sehinggakan penonton berasa seperti tidak berbaloi menunggu babak penamat.
Thena lakonan Angelina Jolie sangat ‘bermisteri’ dan tidak mengecewakan.
Kualiti lakonan Gemma Chan antara watak utama sebagai Sersi dilihat kurang memuaskan kerana penulis berpendapat, karakter yang dijayakannya tidak memberikan impak sewajarnya.
Watak Sersi sebenarnya boleh dijayakan lebih berkesan, namun eksplorasi emosi dan perwatakannya sedikit kaku berbanding kualiti lakonan Gemma yang pernah dijayakan sebelum ini.
Lelucon, aksi
Turut mencuri tumpuan ialah karakter yang dijayakan Richard Madden sebagai Ikaris, Kumail Nanjiani (Kingo), Don Lee (Gilgamesh) dan tidak kurang hebatnya, Angelina Jolie (Thena).
Watak Kingo melahirkan lelucon tersendiri, Disebabkan kebanyakan babak sudah dilihat dalam trailer, tidak banyak kejutan dapat dirasai.
Gilgamesh yang dijayakan Don Lee menepati jangkaan walaupun ‘hayatnya’ tidak terlalu panjang. Masih terbayang-bayang aksi yang dicernakan Don Lee menerusi tumbukan dan tamparannya menentang makhluk asing bernama Deviant.
Cetusan kimia antara karakter utama, Sersi dan Ikaris dalam The Eternals agak memberangsangkan.
The Eternals sebuah filem yang kaya dengan representasi iaitu karakter yang mencerminkan realiti dalam dunia sebenar seperti Makkari (Lauren Ridloff) yang mempunyai masalah percakapan dan beberapa representasi lain yang tidak manis untuk disebutkan di sini, namun wujud dalam dunia (watak Phastos).
Keseluruhan, The Eternals bukanlah seburuk yang disangka. Terlalu banyak perihal untuk disumbat dalam sebuah filem, namun banyak kualiti lain yang menjadikan filem berkenaan tanda aras untuk fasa 4 MCU. Babak pertarungan dalam karya ini tidak kurang hebatnya.
Selebihnya, jangan meninggalkan panggung wayang terlalu awal kerana ada beberapa babak ‘post-credit’ yang semestinya akan membuatkan ramai ternanti-nanti, apa yang akan berlaku selepas ini sekali gus menderaskan adrenalin penggemar naskhah berpayungkan MCU.
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2021/11 ... eruk-yang-disangka/
|
|