|
Smith menang trofi Pelakon Filem Lelaki Terbaik kategori drama menerusi watak sebagai Richard Williams, iaitu bapa kepada Venus dan Serena dalam filem King Richard. Foto IG Anugerah Golden Globe
LOS ANGELES: Aktor Korea Selatan, Oh Yeong-su yang membintangi drama bersiri popular, Squid Game diumumkan memenangi trofi Pelakon Pembantu Terbaik bagi kategori televisyen (TV) pada Anugerah Golden Globe Ke-79 di sini, pagi tadi.
Memegang watak pemain 001, Oh menghidupkan watak lelaki tua, Oh Il-nam yang menyertai permainan itu atas alasan mahu bergembira sebelum menghembuskan nafas terakhir, menawan hati peminat melalui lakonannya dalam drama bersiri popular itu, lapor agensi.
Impak lakonannya, watak pemain 001 menjadi perbualan hangat di seluruh dunia.
Watak pemain 001 dibawa Oh dalam drama bersiri Squid Game diiktiraf Anugerah Golden Globe. Foto IG Anugerah Golden Globe
Aktor berusia 79 tahun itu mengetepikan pesaing iaitu Brett Goldstein yang membintangi drama Ted Lasso; Billy Crudup dan Mark Duplass (The Morning Show) dan Kieran Culkin (Succession).
Sementara itu, filem The Power Of The Dog dinobatkan Filem Terbaik mengalahkan filem Belfast, Coda, Dune dan King Richard.
Kemenangan filem yang disiarkan di Netflix itu turut memberi tuah kepada Jane Champion yang diangkat Pengarah Terbaik dan Kodi Smit-McPhee yang merangkul trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.
Selain itu, filem West Side Story membawa pulang tiga anugerah iaitu Filem Musikal/Komedi Terbaik; Pelakon Wanita Terbaik bagi kategori musikal atau komedi (Rachel Zegler) dan Pelakon Pembantu Terbaik (Ariana DeBose).
Pelakon, Will Smith menang trofi Pelakon Filem Lelaki Terbaik kategori drama menerusi watak sebagai Richard Williams, iaitu bapa kepada Venus dan Serena dalam King Richard.
Aktres, Nicole Kidman mengalahkan pelakon, Kristen Stewart bagi kategori Pelakon Terbaik menerusi kategori drama bagi lakonannya sebagai Lucille Ball dalam Being the Ricardos, lapor agensi.
Andrew Garfield pula memenangi trofi Golden Globe pertama sebagai Pelakon Terbaik menerusi kategori filem musikal atau komedi, iaitu Tick, Tick... Boom!.
Dilaporkan, berikutan pandemik COVID-19, Anugerah Golden Globe dianjurkan tanpa kehadiran calon, pengacara atau siaran langsung disebabkan kontroversi melingkari Hollywood Foreign Press Association (HFPA).
Keputusan acara itu hanya diumumkan menerusi media sosial. - AGENSI
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|