View: 435|Reply: 0
|
Aznil idam ubah warna pingat
[Copy link]
|
|
AZNIL Bidin. FOTO ARKIB NSTP
Kuala Lumpur: Selepas membawa pulang pingat gangsa di Sukan Sea Filipina 2019, atlet angkat berat negara, Aznil Bidin mahu sesuatu lebih bermakna pada temasya sama di Hanoi, bulan depan.
Aznil yang beraksi dalam kategori 61 kilogram (kg) mengakui bulan Ramadan bukan penghalang buatnya untuk mempersiapkan diri dengan lebih mantap seterusnya melakarkan kejayaan di Sukan Sea nanti.
"Saya tetap bersemangat seperti hari biasa walaupun perlu menempuh cabaran berpuasa dan pada masa sama berlatih pagi dan petang.
"Saya perlu memberikan segala-galanya sebelum turun ke gelanggang nanti," kata atlet kelahiran Kedah itu.
Aznil yang turut melayakkan diri beraksi di Sukan Komanwel Birmingham, Julai depan, mengakui dia perlu sentiasa berusaha keras sepanjang latihan untuk mempersiapkan diri pada prestasi terbaik kerana bakal berdepan lawan sukar di Hanoi nanti.
"Pencabar saya di sana nanti adalah atlet Indonesia dan Vietnam. Apapun saya tetap bersedia untuk berdepan mereka dalam penampilan keempat di Sukan Sea.
"Insya-Allah kalau ada rezeki saya mahu mengubah kilauan warna pingat daripada gangsa ke emas. Saya memerlukan semangat ini sebelum turun di Sukan Asia dan Komanwel," katanya yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast 2018.
Pada Sukan Sea 2013 (Myanmar) dan 2017 (Kuala Lumpur), Aznil hanya menduduki tempat keempat, namun dia berjaya mempertingkatkan pencapaian dengan meraih gangsa pada 2019.
Ketika itu dia tumpas kepada atlet Indonesia, Eko Yuli Irawan yang melakukan angkatan keseluruhan 309kg, tatkala Aznil hanya melakukan 283kg.
Pingat perak menjadi milik Thach Kim Tuan dari Vietnam yang melakukan angkatan keseluruhan 304kg.
Acara angkat berat akan dipertandingkan di Pusat Latihan Sukan dan Pertandingan Hanoi dari 19 hingga 22 Mei depan.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... m-ubah-warna-pingat |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|