Bagi seorang penyanyi, suara adalah aset penting bagi mereka. Tidak hanya perlu menjaga kesihatan bagi mengekalkan kualiti suara, sesi latihan dan pembelajaran juga harus dilakukan secara berterusan bagi meningkatkan teknik lontaran vokal.
Bagi penyanyi veteran popular Indonesia, Hetty Koes Endang, tempoh lima tahun dalam bidang seni suara sama sekali tidak menjamin kualiti vokalnya berada pada tahap yang sama. Dia mengakui, sehingga kini pun, dia masih mendapatkan khidmat guru vokal sebelum membuat persembahan berskala besar.
Memetik laporan Kosmo! Online, Hetty turut memantapkan stamina dengan melakukan aktiviti fizikal serta menasihatkan agar mana-mana penyanyi tidak malu untuk memantapkan vokal dengan menyertai kelas vokal apatah lagi kalau sudah lama tidak beraksi.
"Tidak dinafikan, seiring peredaran usia, vokal mengalami perubahan tetapi ada cara untuk menjaganya. Saya berenang dan bersenam selain panggil cikgu ajar kembali teknik-teknik vokal.
"Saya sudah bertahun menyanyi tetapi masih tetap perlukan pertolongan mereka yang arif. Malu? Tidak sama sekali. Buat apa perlu rasa malu?
"Apabila sudah lama dalam industri, kita juga jangan menyombong. Rasa diri sudah terbaik, tidak perlu tunjuk ajar lagi. Untuk apa sombong begitu?
"Saya sendiri panggil cikgu kali ini disebabkan fasa pandemik dahulu, banyak persembahan tertangguh jadi kena benar-benar bersedia untuk konsert di Kuala Lumpur nanti," katanya.
Dalam perkembangan lain, Hetty yang membahasakan dirinya sebagai Bunda itu bakal mengadakan Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang yang akan berlangsung pada 27 Ogos depan. -CARI
|