Sumber IG
Personaliti popular Indonesia, Melly Goeslaw secara terbuka mengakui menjalani pembedahan bariatrik atau yang juga dikenali sebagai pembedahan menurunkan berat badan.
Perkara itu dikongsikan oleh penyanyi tersebut menerusi akaun Instagram.
Katanya, dia terpaksa melakukan pembedahan 'potong usus' kerana masih mengalami obesiti walaupun sudah turun 25 kilogram selepas menjalani diet ketat.
"Selepas program diet dan turun 25 kilogram, saya masih perlu menurunkan 35 kilogram tetapi berat jadi statik tak turun-turun lagi. Paras gula dalam darah juga tinggi menyebabkan nafsu makan saya juga meningkat naik.
"Saya berkongsi momen bahagia, salah satu langkah besar dalam hidup yang ternyata sangat menyenangkan," coretnya.
Terdahulu, Melly yang juga seorang komposer itu pada tahun lalu mendedahkan berat badannya mencapai 100 kilogram dan berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 30 kilogram selepas menjalankan rutin diet dan bersenam dengan bantuan pakar.
Wanita berusia 48 tahun itu juga mendedahkan pernah melakukan proses sedut lemak bahagian pipi namun menegaskan tidak pernah mencuba produk suplemen untuk mengawal selera makan sekali gus menurunkan berat badan.
Usaha mendapatkan berat badan ideal menerusi penjagaan pemakanan serta senaman menyebabkan Melly akhirnya membuat keputusan untuk menjalankan pembedahan bariatrik. -CARI
|