|
Balu Kobe Bryant peroleh AS$16 juta berhubung gambar nahas
Vanessa Bryant, balu kepada bintang Lakers Kobe Bryant, meninggalkan Mahkamah AS di pusat bandar Los Angeles semalam. - Foto AGENSI
LOS ANGELES: Juri persekutuan memerintahkan Los Angeles County membayar balu Kobe Bryant AS$16 juta (RM71.61 juta) berikutan mengambil gambar mayat bintang NBA yang terbabit dalam nahas helikopter 2020.
Sembilan juri sebulat suara bersetuju dengan Vanessa Bryant dan peguamnya bahawa timbalan dan anggota bomba mengambil dan berkongsi gambar mayat Kobe Bryant dan anak perempuannya, Gianna, 13, yang dianggap menceroboh privasi dan membawa tekanan emosi.
Vanessa Bryant dilihat sebak ketika memberi keterangan semasa perbicaraan 11 hari mengenai penyebaran gambar itu.
"Saya hidup dalam ketakutan setiap kali ia muncul di media sosial," katanya.
Plaintif bersamanya Chris Chester, yang isteri dan anak perempuannya juga antara sembilan orang yang terbunuh dalam nahas itu turut mendapat pampasan AS$15 juta (RM67.11 juta).
Peguam Vanessa, Luis Li, berkata gambar yang tersebar itu hanya bertujuan ingin berkongsi rasa ngeri, bukannya untuk penyiasatan.
Sementara itu, Peguam Daerah, J Mira Hashmall, berkata gambar itu adalah alat yang diperlukan untuk menilai keadaan.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa ia tidak sepatutnya dikongsi, tetapi menekankan bahawa gambar itu tidak pernah dipaparkan secara terbuka, malah tidak pernah dilihat oleh plaintif.
Kobe Bryant, bekas bintang Lakers, juara NBA lima kali dan ahli Dewan Kemasyhuran Bola Keranjang, sedang dalam perjalanan bersama Gianna dan tujuh yang lain ke permainan bola keranjang remaja apabila helikopter yang mereka naiki terhempas ke atas bukit di Calabasas barat Los Angeles pada 26 Januari 2020.
Pegawai keselamatan persekutuan menyalahkan kesilapan juruterbang atas nahas itu. - AFP
Sumber:https://www.bharian.com.my/dunia ... hubung-gambar-nahas
|
|