Kuala Lumpur: Program dua hala rasmi antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera Australia (ADF) sempena Indo-Pacific Endeavour 2022 (IPE 22) - Visit To Malaysia yang bermula semalam hingga hari ini mampu meningkatkan hubungan diplomasi ketenteraan dan pertahanan kedua-dua negara.
Bahagian Hal Ehwal Awam (BHEA ATM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan program anjuran ADF-Maritime Task Group itu membabitkan kerjasama antara Perkhidmatan Kesihatan ATM (PKAT) dan Perkhidmatan Tentera Laut Australia.
Berdasarkan kenyataan itu, ADF hadir dengan dua kapal tentera iaitu HMAS ADELAIDE jenis Landing Helicopter Dock (LHD) dan HMAS ANZAC jenis Frigate yang memulakan pelayaran dari Pelabuhan Visakhapatnam, India pada 1 November lalu dan tiba di perairan Selat Melaka, semalam.
"Acara hari ini (semalam) dimulakan dengan demonstrasi evakuasi aeromedical oleh ADF dari kapal HMAS ADELAIDE menggunakan helikopter tentera Australia dengan membawa pesakit ke Hospital Medan ATM di padang Institut Latihan Kesihatan Angkatan Tentera (INSAN), Kem Terendak, Melaka.
"Demonstrasi berkenaan disaksikan oleh Commanding Surgeon, Jeneral Laksamana Muda ADF Sarah Sharkey; Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Lt Jen Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Dr Justin Lee," menurut kenyataan itu.
Katanya, ATM pula menganjurkan pameran Hospital Medan ATM dengan Sharkey diberi penghormatan merasmikan Battlefield Trauma Care Simulation Centre yang disumbangkan ADF melalui Malaysia-Australia Joint Defence Program di Auditorium Bangunan Akademik INSAN.
SARAH Sharkey ketika melawat Battlefield Trauma Care Simulation Centre. FOTO Ihsan ATM