View: 3788|Reply: 0
|
Peniaga Muslim harus hidupkan amalan wakaf
[Copy link]
|
|
Peniaga Muslim harus hidupkan amalan wakaf
MENJALANKAN perniagaan yang mengikut syariat Islam menjamin keberkatan hasil yang diterima.
Seorang peniaga Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT, dia mestilah memastikan hasil perniagaannya mengalir ke jalan kebajikan yang akan menjadikannya peniaga yang benar-benar beruntung di akhirat nanti. Jika definisi keuntungan dalam ekonomi kapitalis hanyalah untung duit dan harta semata-mata, tetapi keuntungan di sisi Islam ialah untung di dunia dan akhirat, untung harta dan pahala, untung dengan sumber dan hasil yang halal lagi diberkati.
Justeru, inilah akidah yang mesti ditanam di dalam diri setiap peniaga Muslim supaya dia memahami halal dan haram dalam urusan pekerjaannya sebagai seorang peniaga. Jika bukan perniagaan model Rasulullah SAW yang sepatutnya menjadi model ikutan kita, maka siapa lagi yang lebih baik daripada diri baginda? Tiada sama sekali.
Antara kebajikan yang boleh diamalkan dalam kalangan peniaga Muslim ialah amalan wakaf. Wakaf bermaksud menghentikan sesuatu dari menjadi milik kepada milik semua, atau ia disebut di dalam hadis Rasulullah SAW sebagai sadaqatin jariyah - (Riwayat Muslim). Hidupkan amalan wakaf dalam kalangan ahli perniagaan Muslim, khususnya demi kelangsungan ekonomi umat Islam yang berpanjangan sehingga umat Islam tidak lagi bergantung kepada barangan dan keperluan buatan bukan Islam. Lihatlah amalan wakaf ini telah ditunjukkan oleh Saidina Uthman al-'Affan RA apabila beliau membeli telaga Bir al-Rumah daripada saudagar Yahudi yang akhirnya diwakafkan kepada umat Islam yang memerlukan pada waktu itu.
Ada perniagaan umat Islam yang terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu membayar sewa tapak, premis perniagaan dan pelbagai caj yang dikenakan oleh pemilik, akhirnya perniagaan Muslim lenyap, manakala perniagaan bukan Muslim hidup segar bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Jika pihak berwajib tidak membantu kelangsungan perniagaan Muslim ini, maka inilah masanya peniaga dan hartawan Muslim bangkit membantu perniagaan kecil milik Muslim ini dengan cara mewakafkan tapak, premis atau barangan-barangan keluaran Muslim agar peniaga Muslim terus mendapat sokongan daripada dermawan Muslim. Allah SWT mengira amalan wakaf ini sebagai perniagaan yang menyelamatkan diri kita daripada azab yang pedih (al-Saff: 10) iaitu dengan cara berjihad dengan harta benda seperti amalan wakaf, sedekah dan sebagainya.
Melalui amalan wakaf, umat Islam dapat memiliki universiti, masjid, pusat kebajikan dan pusat pendidikan yang akan dimanfaatkan untuk memantapkan ilmu dan kefahaman masyarakat Islam berkaitan agama dan ilmu pengetahuan. Justeru, peniaga Muslim perlu meletakkan amalan wakaf sebagai cita-cita dalam menyuburkan kelangsungan ekonomi umat Islam pada masa akan datang. Jika perniagaan produk yang haram seperti judi, arak, rumah urut sukar untuk bankrap kerana ada pemodalnya, maka perniagaan Muslim pula sepatutnya lebih ramai pemodalnya itu pewakaf Muslim. Peniaga Muslim yang hartawan sewajarnya bertindak segera membeli aset seperti tanah dan bangunan supaya dapat dimanfaatkan kepada umat Islam dalam pelbagai bentuk seperti wakaf. Justeru, peniaga kecil dapat meneruskan kelangsungan hidup mereka dalam masa yang sama keuntungan mereka akan mengalir dan berpusing dalam rantai ekonomi umat Islam sahaja.
Melalui wakaf juga, ramai umat Islam yang terpaksa bekerja di premis judi dan arak akan beralih kepada premis Muslim kerana mereka telah mendapat jaminan pendapatan dengan majikan Muslim. Jika kesedaran wakaf ini dapat dibentuk dalam diri umat Islam, maka pasti akan muncul ramai saudagar Muslim yang akan melaksanakan amalan ini. Namun, hari ini perniagaan kecil milik umat Islam masih lemah lantaran tiada pemodal dalam kalangan pewakaf yang benar-benar memikirkan kepentingan umat Islam. Kerana itu dapat dilihat segelintir umat Islam tanpa rasa bersalah membeli di premis bukan Muslim sedangkan dia masih ada pilihan membeli sambil menyokong premis milik Muslim. Biarpun nampak isu kecil sahaja, tetapi isu kecil seperti inilah akhirnya membawa kepada episod gulung tikar peniaga Muslim. Marilah sama-sama umat Islam membantu perniagaan Muslim daripada amalan membeli barangan Muslim sehingga amalan berwakaf.
Penulis Pensyarah Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi MARA, Shah Alam
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... dupkan-amalan-wakaf
|
|
|
|
|
|
|
| |
|