CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6969|Reply: 0

Aktiviti bertani boleh dekatkan diri kepada Allah

[Copy link]
Post time 13-10-2023 07:32 AM | Show all posts |Read mode
Aktiviti bertani boleh dekatkan diri kepada Allah


AL-QURAN ada membicarakan kepentingan aktiviti pertanian untuk umat manusia.



Sejak akhir-akhir ini, serata negara di dunia sedang berhadapan dengan krisis sekuriti sumber pemakanan. Negara kita juga berdepan kesan sama dengan fenomena kenaikan harga bahan produk makanan utama seperti beras.

Jika dahulu, kita mungkin tidak begitu memberikan perhatian terhadap pertanian, malah ada yang memandang sebelah mata sumbangan petani dan pesawah padi, tetapi kini kita seakan-akan 'dicelikkan' mata serta mula insaf betapa besarnya jasa mereka terhadap kehidupan manusia.

Sejak era pramerdeka hingga ke awal 1990-an, negara lebih dikenali sebagai antara negara pertanian yang banyak mengeluarkan pelbagai tanaman baik untuk kegunaan domestik mahupun bagi tujuan eksport.

Namun, era negara tertumpu pada aktiviti pertanian beransur-ansur bertukar arah kepada kerancakan industri. Teringat saya ketika kecil, betapa indah sawah yang terbentang luas, apatah lagi ketika musim menuai padi. Disebabkan zaman berubah laju, maka panorama seperti itu sukar untuk kita temui kini.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna pihak berkuasa terus mengabai dan mengecilkan peranan sektor pertanian dalam keghairahan mengejar status sebagai negara industri maju.

Sebaliknya, pihak kerajaan menerusi pelbagai agensi termasuk Mardi terus diperkasakan sebagai agensi utama dalam mengorak serta mencorakkan sektor pertanian dengan melakukan pelbagai usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D). Sehingga kini, Mardi berjaya menghasilkan lebih 200 teknologi pertanian. Ini membuktikan bidang pertanian negara semakin maju selaras dengan perkembangan semasa yang menuntut setiap aspek kehidupan diubah suai mengikut peredaran masa. Ia juga menjelaskan kepada kita bahawa sektor pertanian negara terus diberikan perhatian serius oleh kepemimpinan negara.

Malah, pengajian dalam jurusan pertanian juga tidak dipinggirkan. Universiti Putra Malaysia (UPM) yang suatu ketika dulu dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia dijadikan tonggak dalam melahirkan tenaga teknokrat dalam sektor pertanian. Demikian juga dengan pelbagai institusi pengajian tinggi lain, disiplin ilmu berteraskan pertanian masih diberikan ruang.

Sebenarnya, daripada kaca mata Islam, sektor pertanian sangat diberikan perhatian. Terdapat banyak ayat dalam al-Quran yang menyentuh perihal aktiviti tani. Contohnya, ayat 99 dalam Surah al-An'am apabila Allah berfirman yang bermaksud: "Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula daripada tanaman itu butir-butir (buah-buahan) yang bergugus-gugus dan daripada pohon tamar (kurma), daripada mayangnya (Kami keluarkan) tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik serta (Kami jadikan) kebun daripada anggur, zaitun dan delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) serta yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang yang beriman."

Dalam ayat ini jelas menunjukkan aktiviti pertanian antara saluran buat mendekatkan diri kepada Allah. Setiap proses penanaman hingga kepada tahap musim berbuah yang seterusnya diikuti pula musim menuai atau memetik buahnya akan membawa kita kepada kekaguman terhadap kekuasaan Allah.

Malah, konsep tawakal jelas dapat kita serapkan semasa melakukan usaha pertanian. Apa sahaja usaha tani meskipun dilakukan dengan kaedah pertanian yang baik, namun, usaha kita itu tetap tertakluk kepada kehendak Allah.

Berbalik kepada apa yang sudah dan sedang aktif dilakukan oleh Mardi dengan menghasilkan pelbagai produk inovasi pertanian baik dalam bentuk perkaedahan tanaman, penciptaan baja baharu, mencipta dan menghasilkan jenis tanaman baharu mahupun terhadap aktiviti penghasilan produk teknologi pertanian seperti jentera pertanian pastinya akan mengingatkan kita kepada keterbilangan umat Islam suatu waktu dulu.

Umat Islam lebih awal mempelopori bidang tani ini yang bukan semata-mata sebagai seorang petani semata-mata. Sebaliknya sejarah perkembangan Islam menunjukkan bahawa Muslimlah yang merintis kepada mencipta pelbagai teknologi untuk kemanfaatan petani.

Abu Zakaria Yahya bin Muhammad bin Al-Awwam Al-Isybili atau lebih popular dengan nama Ibnu Al-Awwam adalah 'pemain utama' dalam memajukan sektor teknologi untuk aktiviti pertanian. Jasa dan sumbangannya amat besar serta diakui oleh ilmuwan masa kini.

Ibnu Al-Awwam anak kelahiran Seville dan hidup pada zaman kejatuhan peradaban Islam di bumi Andalusia. Berkat ketekunan dan kecekalan, beliau berjaya menghasilkan sebuah kitab yang bernama 'Al-Filahah.' Kitab tebal yang mengandungi 34 bab menerangkan pelbagai aspek berkenaan aktiviti pertanian yang boleh dianggap serba lengkap. Ia seolah-olah sebuah buku pertanian yang mendahului zamannya. Menariknya, hasil ilham Ibnu Al-Awwam itu turut memperkatakan berkenaan bidang penternakan.

Lebih menarik lagi ialah apabila Ibnu Al-Awwam juga adalah manusia pertama yang berjaya mencipta dan menghasilkan pelbagai jenis bunga yang berwarna-warni serta juga menghasilkan buah epal di luar musim. Ia menjadikan beliau seorang 'genius' dalam bidang agrotani.

Minat dan kesungguhan ditunjukkan oleh Ibnu Al-Awwam disebabkan pemahaman jelasnya yang aktiviti pertanian adalah suatu ibadah yang akan memberikan ganjaran pahala di sisi Allah. Hinggakan beliau pernah mengungkapkan: 'Sesiapa yang menyemai semaian atau terlibat dalam pertanian, lalu hasilnya dimakan oleh manusia, burung atau haiwan, maka ia adalah sedekah bagi dirinya.'

Kita sewajarnya kembali memperkasakan sumber pemakanan asas yang boleh diusahakan sendiri dengan penglibatan semua pihak, baik mereka yang terlibat secara langsung dengan aktiviti penanaman, mahupun golongan lain seperti tenaga ilmuwan dalam mengkaji kaedah urus tadbir baik dalam agrotani agar penghasilannya mencukupi untuk keperluan domestik.

Selain itu, paradigma minda generasi muda terhadap sektor pertanian wajar diubah dengan membina falsafah baharu, 'Pertanian itu Sumber Kehidupan dan Pendapatan.'

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah


Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... n-diri-kepada-allah


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-12-2024 10:27 AM GMT+8 , Processed in 0.061187 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list