UMMI NAZEERA antara pendatang baru berbakat besar. Dengan raut wajah Melayu asli, dia punya pesona memikat. Justeru, tidak hairan mengapa dia dilamar membintangi filem epik terbitan KRU Studios, Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) yang bakal menembusi pawagam 10 Mac depan.
Menerusi watak Embok, isteri kepada Merong Mahawangsa lakonan Stephen Rahman Hughes, Ummi memperlihatkan satu sisi lakonan berbeza.
Luaran, dia wanita lembut tetapi punya hati keras. Dialah wanita yang membuka mata hati Merong Mahawangsa untuk memahami apa itu erti kehidupan dan dialah juga kekuatan pahlawan ulung itu.
Kepercayaan yang diberi oleh Yusry Abdul Halim selaku pengarah filem berkenaan sangat dihargai Umie. Dia berbesar hati menjadi sebahagian daripada keluarga HMM yang menggandingkan pelakon tempatan dan luar negara.
“Saya melalui tiga uji bakat sebelum diterima menjayakan filem ini. Produksi berskala besar ini sangat mencabar kerana selain digandingkan dengan ramai pelakon luar negara, saya turut menjayakan Nur Kasih pada masa sama.
“Kebetulan saya cuti semester dan akan pulang ke Melbourne 26 Februari ini, jadi sempatlah menyertai beberapa program promosi yang diatur KRU Studios.
“Diharap filem ini diterima masyarakat dan seterusnya menjadi pembuka jalan kepada penghasilan lebih banyak filem epik di negara kita,” katanya.
Pertemuan dengan SELEBRITI dan beberapa lagi teman media menyaksikan perubahan sikapnya yang tampak lebih matang. Tutur katanya tersusun rapi, malah tatkala diajukan soalan berbaur peribadi, dia berhati-hati melontarkan suara.
Kata Ummi, berada jauh di perantauan membuatkannya kenal apa itu erti matang dan berdikari. Tiada lagi istilah anak manja kerana semua kerja dilakukan sendiri tanpa bantuan keluarga.
“Saya bahagia dengan apa yang saya buat sekarang. Insya-Allah saya akan tamat pengajian tiga tahun lagi. Rutin saya sama seperti pelajar lain, kelas bermula dari jam 9.30 hingga 4 petang.
“Pulang ke rumah, saya siapkan tugasan dan habiskan banyak masa dengan mencari maklumat di Internet. Sesekali ada juga keluar dengan kawan tetapi biasanya saya lebih suka memerap di rumah.
“Dulu saya dimanjakan, semua keperluan disediakan, tetapi bila jauh dari keluarga semua benda kena buat sendiri. Daripada urusan membasuh baju, mengemas rumah hinggalah membersihkan lantai dan masak, semua saya lakukan sendiri.
“Tidak dinafikan saya sunyi bila menyewa sendirian, tetapi suasana itu memudahkan saya fokus kepada pelajaran. Sesekali mak ziarah saya dan pantang ada cuti, saya akan pulang ke Kuala Lumpur.
“Jika tiada aral, Jun nanti saya akan pulang lagi kerana ada cuti tiga minggu,” kata pelajar jurusan Pengurusan Perniagaan dan Pemasaran ini.
Demi melunaskan impian membawa pulang segulung ijazah, Ummi berehat seketika daripada dunia lakonan. Biarpun cintanya mendalam, pengorbanan harus dilakukan, bahkan ia bukan lagi keutamaan kerana Ummi mahu menyambung legasi perniagaan ibunya.
“Jujur, saya rindu nak berlakon dan ia kelemahan paling besar saya. Kalau ikutkan, selepas menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Menengah, saya sambung pengajian di Kolej Taylor dalam bidang Komunikasi Massa tetapi fokus saya beralih arah apabila menerima tawaran Hans Isaac berlakon di dalam Alidin.
“Saya sibuk di lokasi penggambaran hingga dua tahun lalu, saya betul-betul tekad mahu habiskan pelajaran. Jadi saya sambung dan kena kuat semangat.
“Tiga tahun bukan lama, saya akan belajar bersungguh-sungguh. Kalau tidak buat sekarang, bila lagi saya boleh tamatkan pengajian.
“Mula-mula saya sambung dalam bidang komunikasi tetapi minat tiba-tiba berubah, jadi saya tukar kepada pengurusan perniagaan dan pemasaran.
“Sebaik tamat pengajian, saya mahu bantu menguruskan perniagaan mak. Sepanjang bercuti ini pun saya selalu ke pejabat untuk dedahkan diri dengan selok-belok dunia perniagaan.
“Berlakon? Mungkin saya akan meneruskan karier ini, tetapi ia bukan lagi jadi keutamaan kerana bisnes keluarga lebih penting. Bagaimanapun, itu tidak bermakna saya tidak akan berlakon lagi.
“Yang boleh saya katakan, buat masa ini saya berehat seketika dan tengoklah macam mana nanti,” katanya yang terpanggil untuk menyertai pementasan teater di universiti, namun masa tidak mengizinkan berikutan jadual belajarnya ketat.
Diusik perihal pengisi kekosongan di hati, bersungguh-sungguh gadis manis ini menjelaskan, dia belum bertemu jejaka sesuai dan kalau ada pun sekadar kawan, tidak lebih daripada itu.
Yang pasti, dia belum bersedia untuk berteman dan lebih senang membicarakan soal kerja daripada perkara berbaur peribadi seperti ini.
Diasak lagi dengan soalan kriteria jejaka pilihan, sambil tersenyum Ummi berkata, dia tidak pernah meletakkan ciri tertentu. Cukuplah bertanggungjawab, menghormatinya dirinya sebagai wanita dan rajin bekerja.
“Saya tak suka lelaki yang terlalu kemas atau menitikberatkan penampilan menarik dan bersih. Saya juga tidak suka lelaki yang suka angkat tangan. Kalau lelaki itu tahu kekuatan dirinya, dia tidak akan pukul wanita,” katanya.