|
PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak Palestin berusia 11 tahun meninggalkan pesanan istimewa buat warisnya.
Menerusi ciapan @irfan_newboys di aplikasi X, kanak-kanak itu bernama Amira Talib Sheldan.
Di dalam wasiat itu, kanak-kanak berpesan agar duit hasil rantai leher dan subang telinganya yang dijual disedekahkan kepada anak yatim dan kanak-kanak yang memerlukan.
Foto: Twitter
“Nama saya Amira Sheldan, berusia 11 tahun dan saya berharap akan mati syahid. Jika saya syahid, tolong jual rantai leher saya dan subang saya.
“Kemudian gunakan duit itu untuk sedekah kepada anak yatim dan kanak kanak yang memerlukan. Tolong ambil segala pakaian yang saya ada dan berikan kepada mereka,” tulisnya dalam surat itu.
Bukan itu sahaja, kanak-kanak perempuan itu juga menitipkan pesanan agar perigi air dapat dibina untuk rakyat Gaza yang dahagakan air.
“Kemudian, bina perigi air untuk mereka yang dahagakan air. Tolong doakan kebaikan dan rahmat kepada saya.
“Jika Karim syahid, saya nak dia ada di samping saya kerana saya sayangkan dia sangat-sangat,” luahnya.
Di ruangan komen, ramai yang mendoakan agar kanak-kanak itu diberi kerahmatan kerana memiliki hati yang sungguh mulia.
“Kalau ini yang dia nak, moga Allah makbulkan permintaan adik ini. Mereka semua dah rindukan syahid sebab untuk hidup lagi susah dengan tiada makanan dan air,” komen Mazween.
“Walaupun 11 tahun tapi dah matang. Dah fikir nak buat pahala berterusan walaupun dah tiada di dunia,” komen Sha.
“Kanak-kanak 11 tahun pun dah impikan syahid. Rasa tertampar diri ini, moga makbul doa kanak-kanak ini,” komen pengguna yang lain pula. – CARI
Sumber: Kosmo |
|