Mengakui aktres Daiyan Trisha pernah menjadi 'crush' hatinya, pelakon Hun Haqeem meluahkan rasa gembira kerana dapat berlakon bersama wanita itu menerusi drama W: Two Worlds.
Hun atau nama sebenarnya Haqeem Hermy, 25, menyifatkan Daiyan sebagai seorang pelakon yang komited dengan kerjayanya.
"Saya pernah ‘crush’ dekat dia. Saya dan Daiyan pernah bekerjasama dalam beberapa jenama, kami buat photoshoot bersama juga sebelum ini.
"Daiyan seorang yang komited dengan kerja dia. Semua kerja yang dia terlibat akan dilakukan sehabis baik.
"Dia akan berikan segala yang dia ada untuk pastikan karya yang dihasilkan berkualiti," katanya.
Mengulas lanjut mengenai keserasian dalam drama tersebut, Hun berkata tidak menjadi masalah buatnya memandangkan mereka pernah berkerjasama sebelum ini.
Dalam masa sama, aktor kelahiran Sarawak itu terbuka untuk bergandingan dengan Daiyan dalam mana-mana naskhah kelak.
"Kalau bercakap pasal keserasian dalam drama ini pula semuanya baik, sebab kami memang dah kenal dan kawan di luar.
"Kalau impian itu jadi atau tidak pun saya tetap bersyukur kenal Daiyan sebagai rakan seindustri.
"Dia seorang pelakon yang sangat menakjubkan. Pada masa akan datang kalau saya ada projek bersama dengan Daiyan saya akan setuju," katanya.
Sumber: Oh Bulan
|