Edited by Nurdianah at 5-12-2023 11:48 AM
Benarlah kata orang bahawa percintaan dengan seseorang itu hadir tanpa kita duga. Malah, status orang yang dikenali khususnya untuk golongan wanita yang mengenali lelaki adalah sangat penting supaya tidak tersalah pilih. Tetapi, adakah anda yang mengenali dan bakal kahwin dengan duda dikategorikan sebagai ‘tersalah pilih’?
Berikut merupakan perkongsian dari seorang peguam syarie di laman Tiktoknya @peguamsyarienaim menjelaskan terdapat beberapa kriteria yang perlu diselidik terlebih dahulu sebelum anda melanjutkan hubungan dengan lelaki berstatus duda. Jaga-jaga..
Berikut adalah beberapa perkara yang anda perlu semak terlebih dahulu:
1) Ambil tahu sejarah penceraian Sekiranya si dia adalah duda yang berpisah dengan bekas isteri, perlu ambil tahu beberapa perkara. Sekiranya penceraian mereka secara fasakh, besar kemungkinan terdapat isu gagal memberi nafkah, pernah memukul pasangan atau berlaku curang.
2) Berapa orang tanggungan Ambil tahu juga berapa bilangan anak dan bagaimana si dia menafkahi tanggungannya sebelum ini. Jika nafkah anak-anaknya tidak ditanggung, apa pula jaminan nafkah anda sebagai bakal isteri dan anak yang bakal lahir kelak?
3) Penyelesaian harta sepencarian Ini juga salah satu perkara yang perlu anda ambil tahu. Adakah si dia mempunyai harta sepencarian yang belum diselesaikan dengan bekas isteri? Bukan apa, bimbang anda fikir si dia akan menyediakan rumah, namun rupa-rupanya rumah tersebut bakal dijual kerana ia adalah harta sepencarian dengan bekas isterinya
4) Tuntutan bekas isteri Kena ambil tahu juga adakah bekas isterinya membuat tuntutan mutaah, nafkah idah dan nafkah tertunggak. Jika belum, besar kemungkinan semua itu akan dituntut oleh bekas isteri jika berhak. Oleh itu sebagai bekas isteri, anda perlu bersedia menerimanya jika ini berlaku
5) Sejarah perkahwinan si dia Benar, perkara yang lepas jangan dikenang. Tapi penting juga untuk anda sebagai bakal isteri mengambil tahu sejarah perkahwinan si dia. Antaranya, sudah berapa kali si dia berkahwin? Kalau si dia pertama kali bercerai, berkemungkinan tidak perlu dibimbangkan sangat. Tapi jika anda sendiri adalahperkahwinannya yang ketiga atau keempat, wajarlah ambil tahu sebab-sebab penceraiannya sebelum ini. Risau juga berjumpa dengan lelaki yang sebenarnya bermasalah.
Tidak salah malah tidak rugi pun untuk mengambil tahu perkara-perkara di atas sebelum menyesal kemudian hari. Sudah pastilah sebagai wanita, kita mahukan perkahwinan yang dibina nanti aman bahagia dan hanya sekali seumur hidup. Pendek kata, tepuk dada tanyalah selera.
|