|
Mengumpul bekalan diri
NASH teruja ingin berpuasa Ramadan di Tanah Suci, tahun depan. - FOTO Aswadi Alias
Meskipun masih aktif dalam karier nyanyian, namun Datuk Nash, 64, tetap mengutamakan ibadah yang disifatkan sebagai bekalan akhirat untuk dibawa menghadap Allah SWT suatu hari nanti.
Penyanyi juga vokalis kumpulan Lefthanded ini berkata, dia bersyukur kerana sudah diberi peluang oleh Allah SWT untuk menunaikan haji pada 2017 serta sudah beberapa kali mengerjakan umrah termasuk ketika Ramadan.
"Pada usia 'emas' begini, saya suka meluangkan masa menghadiri majlis ilmu dan keagamaan sekalipun masih aktif dalam karier seni. Bagi saya, nyanyian diteruskan selagi masih ada rezeki dan atas permintaan peminat.
"Bagaimanapun, pembabitan saya dalam program keagamaan untuk mengumpul bekalan diri di akhirat dan saya bersyukur apabila Allah berikan rezeki sebagai duta untuk program umrah pada Ramadan tahun depan anjuran AsShams Travel & Tours Sdn Bhd (AsShams).
"Saya gembira mendapat peluang lagi untuk menjalani ibadah puasa di Tanah Suci dan kali ini berada selama 40 hari mulai awal Ramadan sehingga meraikan Aidilfitri di sana.
"Alhamdulillah, saya akui betapa seronoknya mendapat rezeki peluang menjalani puasa Ramadan di Tanah Suci dan ia sesuatu yang berharga dan memang tidak saya lepaskan," katanya.
Menurut penyanyi lagu Pada Syurga Di Wajahmu ini, sesiapa yang pernah mengerjakan umrah ketika Ramadan sudah tentu ada keinginan ke Tanah Suci sebagaimana dirasakannya demi meningkatkan amalan ibadah diri sendiri.
"Saya amat berbesar hati sekiranya ramai berminat menyertai pakej umrah Ramadan disediakan AsShams yang berpatutan dan diyakini selamat. Bukan saya saja, tetapi ada selebriti lain seperti ljam (Medicine) dan Saharul Ridzwan turut serta dengan pakej membabitkan masing-masing.
"Apa pun, bagi mereka yang sudah pernah mengerjakan umrah pada Ramadan pasti mempunyai keinginan untuk ke Tanah Suci dan jangan lepaskan peluang ini," katanya mengakui sentiasa merindukan Makkah dan Madinah.
KERJASAMA Nash (kiri) dan AsShams menerusi program Umrah I’tikaf Ramadan 2024. - FOTO Aswadi Alias
Sementara itu, Pengarah Urusan AsShams, Muhammad Hafiz Samsudin, 32, berkata, agensi itu yang beroperasi sejak 2009 sehingga kini masih mencatat rekod bersih dan berlesen di bawah Kementerian Pelancongan Malaysia (Motac).
"Saya tak nafikan dengan tercetus kejadian pakej umrah palsu baru-baru ini, turut memberi tempias kepada AsShams, namun realitinya rekod kami bersih. Selama 13 tahun ditubuhkan, setakat ini AsShams menyediakan perkhidmatan yang baik.
"Jadi, pemilihan beberapa selebriti untuk terbabit program Umrah I'tikaf Ramadan Bersama Datuk Nash pada tahun depan ini bukan meraih kepercayaan ramai dengan mudah, namun lebih kepada fokus menyemarakkan umrah.
"Jemaah umrah yang menyertai setiap pakej disediakan juga berpeluang mendapat banyak manfaat dan sentuhan agama daripada ulama serta umara terbabit, seiring objektif tawaran terbaik," katanya.
Muhammad Hafiz berkata, program umrah Ramadan ini bertujuan mendekatkan masyarakat kepada agama dengan mengajak untuk cintakan Rasulullah SAW menerusi aktiviti ziarah dan rindukan Tanah Suci.
Seramai 1,500 jemaah disasarkan AsShams dalam tujuh pakej disediakan menerusi program Umrah I'tikaf Ramadan Bersama Datuk Nash yang difahamkan mula berangkat pada 4 Mac tahun depan dan berada di Tanah Suci sehingga 11 April tahun depan, sekali gus turut meraikan Aidilfitri di sana.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/rap/20 ... gumpul-bekalan-diri
|
|