CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9796|Reply: 0

Produk tempatan setanding jenama luar

[Copy link]
Post time 13-12-2023 07:40 AM | Show all posts |Read mode
Produk tempatan setanding jenama luar


RAKYAT Malaysia juga tidak terkecuali menunjukkan solidariti kepada masyarakat di Palestin yang terus dianiaya rejim Israel.


Putrajaya: Krisis kemanusiaan di Palestin yang semakin memburuk sejak awal Oktober lalu, membangkitkan pelbagai terjemahan masyarakat dunia yang membantah tindakan kejam rejim Zionis termasuk dengan tidak lagi menyokong produk pro-Israel dan mula beralih kepada produk tempatan.

Rakyat Malaysia juga tidak terkecuali menunjukkan solidariti kepada masyarakat di Palestin apabila pelbagai senarai perkongsian produk tempatan 'membanjiri' platform di media sosial sama ada produk makanan, barangan keperluan sehinggalah produk yang besar seperti perabot.

Situasi yang berlaku ini, bagaikan satu rahmat buat pengusaha tempatan apabila 'membuka mata' masyarakat bahawa produk kita sebenarnya setanding dengan jenama antarabangsa malah ada yang mendapat pengiktirafan di peringkat global.

Nama seperti San Francisco Coffee, US Pizza, BritishIndia, Zus Coffee antara jenama yang sudah kukuh dan diminati ramai, namun mungkin sebahagian besar tidak mengenali bahawa ia sebenarnya produk tempatan dan hanya diketahui selepas dikongsikan netizen di media sosial.

Tidak itu sahaja, ada juga jenama yang kurang didengari seperti produk lampin pakai buang bayi jenama Midori, sabun pencuci Inas, jenama-jenama keperluan diri seperti Halage'l, Mismis atau Swag serta pelbagai lagi jenama yang juga berkualiti tetapi kurang mendapat perhatian mungkin disebabkan promosi yang tidak meluas serta kesukaran untuk mendapatkannya.

Justeru, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melihat situasi ketika ini merupakan ruang terbaik untuk dimanfaatkan pengusaha produk tempatan bagi mempromosikan barangan mereka melalui pelbagai platform sedia ada.

"Isu boikot ini agak sensitif dan ia adalah hak pengguna. Kementerian perlu bersikap neutral kerana berperanan menjaga pengusaha barangan tempatan dan juga produk luar, cuma pengusaha tempatan boleh menggunakan keadaan ini mempromosikan produk mereka sebagai ganti kepada barangan luar yang tidak mahu dibeli oleh pembeli," Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan, KPDN Datuk Rohaizi Bahari memberitahu Bernama dalam satu wawancara eksklusif baru-baru ini.

Beliau yang melihat trend itu sebagai satu perkembangan positif turut mengharapkan sikap mengutamakan produk tempatan ini tidak bermusim sebaliknya berterusan selain pengusaha juga perlu meningkatkan kualiti barangan serta perkhidmatan agar setanding dengan produk luar dan harga berpatutan.

Tidak menafikan kualiti produk tempatan sebenarnya semakin bertambah baik, terutamanya dalam pembangunan produk termasuk pembungkusan, rekaan serta mendapat pensijilan yang ditetapkan berdasarkan penanda aras tertentu sama ada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Biarpun begitu, KPDN melihat cabaran besar dalam menggalakkan penggunaan barangan tempatan dalam kehidupan seharian masyarakat adalah produk dan perkhidmatan ini kurang dikenali kerana tidak dipasarkan secara meluas selain promosi kurang agresif.

Malah, untuk produk tempatan menembusi ke pasar raya utama yang menjadi tumpuan ramai serta premium agak sukar dan ini juga antara faktor dikenal pasti mengapa produk tempatan tidak begitu menjadi pilihan masyarakat.

Maka tidak hairanlah, Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) masih belum mencapai matlamatnya untuk meningkatkan semangat patriotisme masyarakat membeli barangan dan menggunakan perkhidmatan tempatan walaupun sudah menjangkau 39 tahun.



Tambah baik strategi



Justeru, KPDN kini dalam usaha menambah baik strategi pemasaran dan meningkatkan penggunaan produk tempatan termasuk menjalin kerjasama dengan pasar raya besar, kedai serbaneka dan kedai di stesen minyak.

Menjelaskan mengenainya, Rohaizi berkata, setakat ini kementerian mempunyai 16 rakan strategik untuk memartabatkan barangan Malaysia menerusi industri peruncitan tempatan seperti Lotus's Malaysia, Mydin, KK Supermart dan Petronas Mesra.

Sementara kementerian turut berkolaborasi dengan tiga rakan strategik melalui platform dalam talian seperti Shopee, Lazada dan PG Mall untuk menjayakan KBBM.

"Strategi pemasaran produk dan perkhidmatan tempatan kini berbeza apabila tumpuan diberikan di tempat premium kerana masyarakat akan lebih percaya kepada kualiti sesuatu produk yang dipasarkan di lokasi berkenaan. Sebelum ini, agak sukar produk tempatan menembusi pasar raya premium disebabkan stigma.

"Bagaimanapun, tidak boleh menyalahkan mereka (pemilik pasar raya) kerana beberapa aspek perlu diambil kira antaranya adakah kualiti barangan tempatan sesuai diletakkan di sana selain mampukah memenuhi permintaan secara berterusan," katanya.

Menerusi strategi bersifat serampang dua mata, pemasaran produk tempatan di pasar raya premium ini juga berkapasiti sebagai gerbang menembusi pasaran global melalui rangkaian peruncitan mereka yang beroperasi di pelbagai negara misalnya AEON mahupun Lulu.

Malah, banyak barangan tempatan berjaya dipasarkan di luar negara seperti di Timur Tengah menerusi kolaborasi itu dan kerana itu, kementerian tidak memandang mudah perihal pembangunan produk dan peningkatan kualiti.

Memahami akan keperluan itu, KPDN sentiasa berusaha membantu pengusaha tempatan meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan mengikut piawaian yang ditetapkan menerusi khidmat nasihat, latihan berterusan dan padanan perniagaan mereka dengan peruncit utama negara ini.



Nafas baharu KBBM



Sejajar dengan perubahan ini, kementerian turut menyuntik nafas baharu memperkasakan KBBM menerusi penganjuran Karnival Barangan Malaysia (KBM) 2023 bagi merangsang kelangsungan semangat patriotik masyarakat dalam mengangkat jenama tempatan.

Ini termasuk mengadakan lima siri jelajah mini KBM di pasar raya premium membabitkan zon utara, selatan, pantai timur, Sabah dan Sarawak yang disertai 18 hingga 22 usahawan tempatan bagi memastikan produk ini dapat diakses masyarakat.

Kemuncak jelajah ini akan diadakan selama lima hari bermula 13 Disember ini dengan skala besar membabitkan lebih 100 pempamer menerusi pelbagai kluster dari seluruh negara bertempat di IOI Grand Exhibition & Convention Centre, IOI City Mall, Putrajaya.

Bertemakan keeksklusifan Barangan Malaysia, karnival ini tidak hanya mengetengahkan jualan dan pameran, tetapi turut berperanan sebagai medan terbaik dalam membantu pengusaha untuk meningkatkan kapasiti penjualan barangan dan perkhidmatan mereka supaya lebih meluas menerusi segmen padanan perniagaan.



Karnival Barangan Malaysia 2023



"Langkah kerajaan memperkasa dan melaksanakan KBBM menerusi pelbagai inisiatif strategik seperti karnival jelajah KBM adalah bagi mengimbangi cabaran dan tekanan globalisasi ekonomi semasa khususnya dalam merancakkan serta merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan pembelian dan penggunaan produk atau perkhidmatan tempatan.

"Untuk tahun ini, kita pergi ke lima zon di seluruh Malaysia menerusi siri jelajah mini sebelum kita tutup dengan acara kemuncak KBM pada Disember ini. Diharap dengan pelaksanaan inisiatif strategik, KBBM dapat meningkatkan kuasa membeli rakyat terhadap barangan tempatan," katanya.

Selain jelajah KBM, inisiatif strategik lain yang telah dan akan dilaksanakan adalah Jualan Bertema Berdasarkan Segmen Khusus dan untuk tahun ini, segmen yang dipilih adalah fesyen dan juga kraftangan bagi memberi ruang kepada industri tempatan yang kurang diberi pendedahan melalui KBBM.

Kementerian turut menjalinkan kolaborasi strategik bersama syarikat media animasi digital menerusi pembangunan slot animasi bagi menyuntik minat patriotisme terhadap barangan tempatan bermula sejak kecil lagi.

"Saya mewakili KPDN menyeru rakyat Malaysia mahupun luar negara untuk menjayakan 'Jom Sokong dan Beli' barangan Malaysia dengan membeli serta memilih barangan tempatan yang sememangnya berkualiti dan setanding dengan produk luar.

"Kalau bukan kita menjunjung produk barangan Malaysia, cintakan produk tempatan dan sokong barangan Malaysia, siapa lagi?" tanya beliau.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakh ... tanding-jenama-luar

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

4-12-2024 04:56 PM GMT+8 , Processed in 0.087829 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list