Edited by JoyahMengayah at 15-12-2023 05:43 AM
PETALING JAYA: Kerajaan perlu terus memberi nasihat kepada golongan berisiko untuk mengambil dos penggalak Covid-19 susulan peningkatan kes kepada lebih 12,000 jangkitan kelmarin, kata seorang pakar kesihatan.
Dr Zainal Ariffin Omar berkata kumpulan terbabit tidak seharusnya dipaksa walaupun hasrat berkenaan baik untuk meningkatkan ketahanan badan bagi berdepan virus.
“Orang kita tidak suka ‘mandatori’. Kalau kerajaan memaksa dan mesti wajibkan (pengambilan dos penggalak) nanti orang jadi marah lagi. Kita rasa pun tak begitu perlu, cuma kita perlu tambah nasihat.
“Macam sekarang kita beritahu ada kenaikan kes dan nasihat ambil vaksin,” katanya kepada FMT.
Beliau yang juga bekas pengarah kesihatan Pahang berkata wujud keperluan bagi golongan rentan mengambil dos penggalak susulan peningkatan kes Covid-19 baru-baru ini memandangkan tahap imuniti telahpun menurun setelah sekian lama.
“Jadi sebaiknya ialah siapa yang belum melengkapkan dos penggalak tolong lakukan dan mungkin mengambil dos yang dicadangkan untuk melindungi diri sendiri,” katanya.
Sementara itu, Dr Sharifa Ezat Wan Puteh dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata adalah penting bagi golongan rentan mendapatkan dos penggalak Covid-19 supaya tidak mudah dijangkiti sehingga mengalami kesan yang parah.
“Dos penggalak ini mungkin boleh dikatakan kena ambil setiap tahun, seperti suntikan influenza.
“Antibodi selepas divaksin hanya bertahan antara lima hingga enam bulan, maka dos penggalak adalah amat digalakkan pengambilannya,” katanya.
Hari ini, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata arahan baharu mungkin dikeluarkan tidak lama lagi untuk pengambilan dos penggalak Covid-19 terutama bagi golongan rentan.
Katanya, kadar pengambilan dos penggalak kedua vaksin Covid-19 ialah 54%, manakala kadar untuk dos ketiga “agak rendah”.
Dilaporkan semalam jumlah kes Covid-19 meningkat 88% kepada 12,757 minggu lepas, berbanding 6,796 pada minggu sebelumnya.
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/12/14/covid-19-tambah-nasihat-kumpulan-risiko-ambil-dos-penggalak-kata-pakar/
|