|
KPM sedia bantu beri khidmat kaunseling
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek
Nibong Tebal: Kementerian Pendidikan (KPM) berharap siasatan segera dapat dijalankan pihak berwajib berhubung kematian seorang pelajar Tingkatan Limayang maut dilanggar dan diseret sebuah kereta di Jalan Taman Jati dekat Meru, Ipoh, Perak, semalam.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya menzahirkan rasa simpati ekoran insiden berkenaan dan bersedia membantu memberi khidmat sokongan kepada keluarga arwah pelajar itu sekiranya diperlukan.
"Kes ini membabitkan pelajar sekolah dan di sini saya ingin merakamkan ucapan takziah. Difahamkan kes masih dalam siasatan dan berharap (pihak berwajib) dapat menyegerakannya.
"Pada masa sama, dalam konteks KPM, kita juga menawarkan sokongan dari segi kaunseling sekiranya diperlukan keluarga Allahyarham apabila tragedi ini saya fikir agak menyayat hati.
"Selain itu, ada anak-anak (pelajar) lain yang berada di lokasi dan turut melihat kejadian terbabit, maka kita akan bantu (kaunseling) bagi mereka yang terkesan," katanya.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal hadir merasmikan Program Rintis Steam dan Makmal Steam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yok Eng di Sungai Udang di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, Timbalan Menterinya, Wong Koh Wah akan mewakili KPM untuk menziarahi keluarga mangsa petang ini.
Terdahulu media melaporkan, pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie,17, yang menunggang motosikal jenis Yamaha maut selepas dilanggar sebuah kereta Perodua Ativa dipandu suspek yang juga pegawai kanan polis.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -khidmat-kaunseling
|
|