Terdahulu, Zamani menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis di sebuah pusat perubatan swasta di Cheras, Kuala Lumpur pada 7 November tahun lalu.
Justeru itu, Zamani mula memperlahankan kerjaya seni demi memberi tumpuan kepada kesihatannya dan juga Concert UK’Slam Musical yang akan berlangsung pada 3 Februari depan di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor.
“Buat masa ini memang banyak tawaran datang tetapi saya tidak ambil semua. Satu sebab masalah kesihatan dan kedua kumpulan Slam sudah aktif semula, jadi atas rasa tanggungjawab saya perlu kurangkan persembahan solo.
“Bimbang nanti waktu konsert orang tidak datang sebab sudah terlalu banyak tonton persembahan percuma. Itu hakikat yang memang perlu kita telan,” ujar Zamani.
Dalam pada itu, Zamani berjanji untuk menjaga tahap kesihatan dan kualiti vokalnya agar penonton yang datang pada konsert tersebut berpuas hati dengan persembahannya.
“Orang datang konsert berbayar, jadi saya harus memberi persembahan terbaik. Diakui faktor kesihatan kadang-kala mengganggu kualiti vokal saya.
“Jadi, selain kurangkan persembahan pentas, say amula jalani latihan untuk konsert lebih awal. Saya juga mula berjumpa doktor dan menjaga stamina. Apa yang boleh dilakukan demi sebuah persembahan terbaik, saya usahakan kerana tidak mahu menghampakan peminat,” kata Zamani.
Buat julung kalinya, kumpulan Slam akan bergabung dengan kumpulan UK’s dalam Concert UK’Slam Musical anjuran Bombbay Legend Worldwide bersama AmirUKs Entertainment.
Sumber: Kosmo! Online