GUA MUSANG – Sebahagian besar masyarakat Orang Asli terutamanya warga emas yang tinggal di kawasan pedalaman masih tidak berjaya menebus kredit eMadani sebanyak RM100.
Penghulu Kampung Brooke Lama, Rian Bujang, 48, berkata, meskipun bantuan eMadani boleh ditebus sejak lebih dua minggu lalu, kebanyakan Orang Asli masih gagal menerima manfaat berkenaan.
Mohad Syahbuddin (kiri) menyantuni penduduk Orang Asli di Kampung Char, Pos Hendrop di Gua Musang yang masih gagal menebus kredit eMadani sebanyak RM100. – Foto: Kosmo
“Selain tidak mendapat maklumat lengkap, mereka juga tidak celik teknologi apabila tidak pandai menggunakan telefon pintar.
“eMadani merupakan satu kebaikan kerana kerajaan memberi bantuan secara e-tunai kepada rakyat bagi membeli barangan keperluan termasuk makanan.
“Namun, masih ramai Orang Asli ketinggalan dalam arus pembangunan dan mereka tidak pandai menggunakan telefon pintar khususnya warga emas.
“Saya harap satu program penebusan dan pembelian menggunakan eMadani secara serentak dapat dilaksana untuk membantu mereka,” katanya ketika ditemui di Pos Brooke semalam.
Seorang warga emas, Kamariah Long, 60, berkata, dia masih belum menebus bantuan berkenaan kerana tidak mempunyai penyedia perkhidmatan e-dompet seperti ShopeePay, Setel, Touch ‘n Go dan MAE Maybank.
“Kita ingin minta tolong kerana Orang Asli tidak tahu, bahkan tidak mempunyai telefon. Saya sendiri juga buta huruf. Jadi, sangat bagus sekiranya ada bantuan pendaftaran dan penebusan daripada pihak berkenaan.
“Saya harap kerajaan permudahkan, dengan beri bantuan tunai atau kreditkan wang ke akaun bank,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, dia menerima aduan daripada wakil Orang Asli melibatkan beberapa kampung pedalaman yang masih gagal menebus eMadani.
“Saya cadangkan kita berkolaborasi dengan agensi kerajaan Persekutuan sama ada secara berkelompok atau serentak untuk kita bantu Orang Asli tentang cara pendaftaran bagi mereka yang layak dapat eMadani ini,” katanya. -CARI
Sumber:Kosmo |