Pengarah dan pelakon, Aziz M Osman, mendedahkan pernah berhadapan dengan pelakon yang mempunyai perangai diva atau berlagak sehingga bertindak meninggalkan set semasa penggambaran dijalankan.
Namun sebagai orang yang sudah lama berkecimpung dalam bidang seni, Aziz, 61, kekal tenang kerana telah melihat ramai pelakon yang tidak bertahan lama kerana mempunyai sikap sebegini.
“Saya pernah berhadapan dengan pelakon yang mempunyai sikap diva atau narsisitik. Bila kami, pelakon veteran melihat perangainya itu, kami senyum kerana sudah tahu bagaimana pengakhiran pelakon itu nanti.
“Hidup ini bagai roda. Kitaran yang sama itu sudahpun dilalui banyak orang. Pelakon itu mungkin menyombong hari ini. Namun suatu hari percayalah, dia juga akan berada di bawah. Oleh itu, hidup jangan menyombong,” katanya.
Aziz ditemui Utusan Malaysia semasa majlis tayangan perdana dan sidang media filem Dalang baru-baru ini.
Sekadar berkongsi pengalaman, Aziz berharap ceritanya dapat dijadikan pengajaran khususnya buat pendatang baharu agar sentiasa menjaga kelakukan semasa penggambaran.
“Apa yang sudah berlalu, kita anggap sahajalah ia sudah berlalu. Sekarang, pelakon itu pun sudah okay,” tambahnya.
Sumber: Utusan
|