View: 39504|Reply: 0
|
Johan mahu cabar Rodtang 2 tahun lagi
[Copy link]
|
|
KUALA LUMPUR: Bintang muda muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali menetapkan tempoh dua tahun lagi untuk dia bertarung dengan juara dunia, Rodtang Jitmuangnon dari Thailand dalam ONE Championship.
Johan, 17, atau dikenali dengan julukan Jojo, berkata dia berazam untuk merampas tali pinggang flyweight milik idolanya itu yang mula dimenangi bintang Thailand itu pada 2019.
Katanya, meskipun ada segelintir pihak menganggap masih terlalu awal untuk dia mencabar Rodtang disebabkan usianya yang masih muda tetapi Johan tidak melihat ia sebagai satu halangan.
"Saya mahu jadi nombor satu dunia. Jadi, sudah tentu langkah pertama saya selepas menerima kontrak ONE Championship adalah untuk ambil tali pinggang seperti Rodtang.
"Saya ada baca komen (dalam media sosial) yang mengatakan masih terlalu awal dan saya mungkin belum bersedia. Namun, untuk diri saya sendiri, saya tetapkan sasaran untuk bertarung dengan Rodtang pada 2025.
"Jika ditanya ada kemungkinan pertarungan boleh berlaku lebih awal atau pada 2024, saya tidak pasti.
"Namun, saya secara peribadi menetapkan pada 2025 untuk bertarung dengan Rodtang jika dia masih memegang tali pinggang itu," kata Johan yang ditemui BH Sukan di Kuching, Sarawak, Selasa lalu.
Rodtang, 26, mula memenangi tali pinggang kejuaraan dunia flyweight ONE Championship selepas menumbangkan jaguh Britain, Jonathan Haggerty pada 2019 menerusi keputusan sebulat suara.
Dia kemudiannya berjaya mempertahankan tali pinggang berkenaan sebanyak lima kali bermula dengan kemenangan ke atas Walter Goncalves dari Brazil pada 13 Oktober 2019 sebelum sekali lagi menumbangkan Haggerty pada 10 Januari 2020.
Rodtang terus mempamerkan penguasaannya apabila turut menumbangkan rakan senegara, Petchdam Petchyindee untuk mempertahankan gelaran buat kali ketiga sebelum menewaskan lawan dari Itali, Joseph Lasiri pada 19 November 2022 dan yang terakhir Edgar Tabares (Mexico) pada 5 Mei lalu.
Ironinya, Johan turut dibandingkan dengan Rodtang selepas kejayaannya menumbangkan Tabares menerusi kiraan 'knockout' (KO) dalam tempoh 36 saat pada 8 Disember lalu sehingga ada peminat yang menggelarnya 'Rodtang versi melayu'.
Bagaimanapun, Johan menegaskan dia mahu dikenali dan berjaya dalam sukan muay thai atas kapasiti dirinya sendiri tanpa dibandingkan dengan orang lain.
"Pada mulanya, saya rasa ia hebat apabila orang menggelar saya 'Rodtang Melayu'. Ia sesuatu yang hebat apabila dilihat setaraf dengan salah seorang idola saya.
"Namun, saya tidak mahu dikenali sebagai Rodtang yang seterusnya. Saya mahu dikenali sebagai Jojo iaitu Johan Ghazali. Saya mahu menjadi diri saya sendiri," katanya.
Johan sebelum ini pernah bersemuka dengan Rodtang sambil 'menuntut ilmu' apabila dia dijemput oleh idolanya itu ke rumahnya di Thailand. Pertemuan itu dikongsikan Johan menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman media sosial miliknya pada 3 November lalu.
Muhammad Johan Ghazali (kiri) dan Rodtang Jitmuangnon
https://www.bharian.com.my/sukan ... odtang-2-tahun-lagi |
|
|
|
|
|
|
| |
|